Selamat Hari Merdeka, Malaysia!
Umum ketahui tanggal 31 Ogos ini adalah tarikh keramat buat negara dalam melaungkan kemerdekaan buat kali ke 63. Ini bermakna sudah lebih 6 dekad negara meraikannya. Namun, apa yang lebih menarik adalah pada tarikh yang sama, tetapi berbeza tahunnya telah tercetus pelaksanaan ikrar negara – iaitu Rukun Negara.
Pada detik 31 Ogos 1970, negara telah melaksanakan lima prinsip negara untuk rakyat Malaysia, ianya terdiri daripada
- Kepercayaan Kepada Tuhan
- Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
- Keluhuran Perlembagaan
- Kedaulatan Undang-undang
- Kesopanan dan Kesusilaan
Kelima-lima prinsip ini diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin, Yang di- Pertuan Agong IV, dengan tujuan untuk membantu membangun sebuah negara menjadi kuat dan bersatu.
Untuk makluman, pembentukan Rukun Negara ini telah digubal oleh Jabatan Perpaduan Nasional bagi menyeimbangkan semula pembangunan ekonomi pada ketika itu dengan nilai-nilai yang lebih baik.
Selain itu dengan adanya prinsip negara ini ia sekaligus dapat mengukuhkan lagi perpaduan negara. Antara sebab lain bagi pembentukan Rukun Negara ini adalah berikutan peritiwa 13 Mei 1969 – pada ketika itu telah berlakunya perbalahan antara kaum, yang secara tidak langsung mengugat kedudukan keharmonian Malaysia.
Oleh itu, penerapan Rukun Negara diihat mampu menjadikan Malaysia sebuah negara yang berprinsip dan bersekutu dalam membangunkan pertumbuhan negara.