Artikel

29 Ogos 1995 – Dari Prang Besar Ke Putrajaya

Setelah 6 dekad negara melaungkan kemerdekaan, begitu banyak pembangunan di Malaysia mula terbentuk, antaranya adalah pembentukan Putrajaya.

Untuk pengetahuan anda, pada tarikh 29 Ogos 1995 – telah bermulanya pelancaran pembentukan bandaraya besar Putrajaya. Pelancaran tersebut telah dilakukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang pada ketika itu merupakan Perdana Menteri Keempat Malaysia.

Pada awalnya nama asal kawasan Putrajaya adalah Prang Besar, Selangor. Namun bagi membentuk sebuah bandaraya yang baharu, nama Putrajaya telah dipilih untuk dibangunkan sebagai pusat pentadbiran Malaysia.

Berteraskan konsep hijau dan pintar, projek Putrajaya ini dianggarkan sekitar RM20.5 bilion, Tun Mahathir menyifatkan pelaksanaan bandar baharu ini akan membawa pelbagai manfaat kepada politik, ekonomi dan sosial negara. Antara rangkuman yang disasarkan adalah Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, perkhidmatan komersial, kemudahan sosial, keagamaan dan sistem pengangkutan yang sistematik.

Melihat pada pelan tersebut, ternyata visi itu telah menjadi sebuah realiti.

Putrajaya kini dilihat antara bandaraya yang menjadi kebanggaan negara. Tidak hanya tertumpu pada landskapnya, namun susun atur bandar tersebut dilihat begitu sistematik – secara tidak langsung mempamerkan imej pentadbiran negara yang semakin membangun.

Apa yang menarik, menerusi pembentukan Putrajaya ini – hanya 10% sahaja penggunaan bahan import telah digunakan, hampir keseluruhan pembangunan telah direka sendiri oleh syarikat tempatan negara. Kenyataan ini jelas menunjukkan Malaysia turut memiliki kepakaran yang setanding dengan negara luar.

Setakat ini, Putrajaya memiliki sekitar 120,000 penduduk dengan anggaran 32,000 penempatan isi rumah.  Oleh itu, bagi memastikan pembangunan secara berterusan dapat dilakukan, Putrajaya kini akan memberi tumpuan pada sasaran pelan 2050 mereka. Di mana menerusi pelan itu, bahagaian teknologi dan pelaburan telah menjadi tumpuan utama negara untuk meningkatkan taraf Putrajaya sebagai sebuah bandaraya negara yang disegani dunia.