Artikel

Raikan Kemerdekaan Malaysia Dengan Tanggungjawab Bersama

Dalam beberapa jam sahaja lagi Malaysia bakal menyambut Hari Kemerdekaan kali ke 63.

Tanggal 31 Ogos 1957 ini adalah detik bermakna buat negara kita dalam melaungkan kebebasan pada dunia. Ia bukan sahaja merangkumi kebebasan dari jajahan British, namun turut meliputi kawalan ekonomi, politik serta membina identiti negara tersendiri.

Setelah 6 dekad meraikannya, detik itu tidak dapat lagi diraikan seperti sedia kala. Penularan wabak COVID-19 telah mengubah norma lama kepada norma baharu.

Posisi ekonomi negara semakin genting untuk diuruskan.

Sejujurnya ia bukan hanya disebabkan krisis COVID-19 sahaja. Ia turut melibatkan ketidaktentuan ekonomi dunia.

Mungkin ramai yang masih alpa tentang apa yang berlaku.

Hutang negara menjangkau RM1 trillion. Kadar pengangguran negara pada tahap 4.9%, atau lebih 700,000 individu menganggur.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan kemerosotan yang merunsingkan pada angka -17.1%, manakala sektor swasta pula mempamerkan kemerosotan pada tawaran pekerjaan.

Jadi, apa peranan sebenar kita dalam memerdekakan Malaysia di abad 21 ini?

Mudah jawapannya, kita kena terus membuat pilihan dalam menentukan apa yang terbaik untuk negara kita.

Samada pilihan di peti undi, pilihan di pasaraya, mahupun pilihan di tempat kita membuat pelaburan.

Mungkin tempat pertama kita boleh mula adalah dalam menyemaikan semangat cinta akan ekonomi negara dengan membantu perniagaan dan usahawan negara dalam mencorakkan semula pertumbuhan ekonomi kita.

Sokong Ekonomi Negara Dengan Berbelanja

Sememangnya isu perbelanjaan ini berkait rapat dengan kos sara hidup. Ini akan sentiasa menjadi faktor terbesar masyarakat negara. Ia merangkumi pelbagai aspek antaranya adalah kenaikan harga barang, petrol dan kadar kenaikan gaji.

Itu belum kita sentuh soal tanggungan isi rumah mahupun tanggungan hutang pendidikan dan komitmen lain.

Kini ditambah pula dengan keadaan ekonomi semasa yang semakin merosot disebabkan perang perdagangan AS-China dan krisis COVID-19 pula telah merumitkan lagi situasi pembelanjaan kos sara hidup kita.

Susulan itu, masyarakat perlu mula bertindak mengawal segala bentuk perbelanjaan fizikal mahupun atas talian kepada perkara berkepentingan sahaja.

Perbelanjaan bersifat keperluan ini harus mulai dipraktikkan. Ia bukan sekadar membantu anda memahami kebolehmampuan diri, namun turut dapat memahami aliran tunai negara.

Benar, tindakan kawalan perbelanjaan ini tidak mampu menamatkan kemarau kos sara hidup Malaysia. Tetapi, ia dapat membantu ekonomi negara kita untuk tempoh pemulihan ini.

Raikan Keunikan, Hentikan Sentiman Perkauman

Walaupun sudah memasuki tahun 2020, negara kita masih lagi berterusan menggunakan isu perkauman untuk perdebatan.

Ya, hanya segelintir sahaja yang bersikap sedemikian. Namun kesan kecil ini mampu mendatangkan impak yang besar kepada masyarakat Malaysia. Ia memberi kesan kepada ekonomi, perpaduan, budaya, sosial dan politik negara.

Seharusnya keunikan Malaysia yang memiliki pelbagai bangsa dan etnik ini perlu diraikan. Sekiranya memiliki percanggahan dalam beberapa aspek, keutamaan dalam berbudi bahasa amat dituntut.

Ini kerana, penulis berasa isu perkauman mampu menjadi bisa kepada pertumbuhan ekonomi negara kita. Benar, keseimbangan untuk semua kaum tidak mampu diselaraskan. Namun, kita boleh mengubahnya dengan meraikannya secara berhemah.

Mungkin perkara ini kelihatan remeh bagi sesetengah pihak, tetapi mahukah kalian berterusan menunding jari? Tidak bukan, kerana Malaysia sentiasa inginkan kedamaian dalam semua aspek.