Artikel

Hari Keputeraan YDPA, Kesempatan Untuk Memulihkan Semula Ekonomi Negara

Sekalung tahniah diucapkan buat Tan Sri Dr Nor Hisham berhubung penganugerahan beliau, Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang diterimanya pada sambutan Hari Keputeraan Agong tahun ini.

Gelaran Tan Sri yang diberikan kepadanya melambangkan kesungguhan warga Kementerian Kesihatan dalam mengawal pandemik ini.

Sambutan kali ini sedikit berbeza dan serba ringkas.

Penerapan norma baharu dan pemakaian pelitup muka telah dibudayakan. Semuanya tepat mengikuti amalan yang telah digariskan.

Bercerita tentang sambutan kali ini, pelbagai isu telah diketengahkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung situasi semasa.

Antara penekanannya adalah perjuangan dalam memerangi wabak COVID-19, kedudukan pertumbuhan ekonomi negara dan matlamat kerajaan dalam mendigitalkan semua sektor.

Ulasan Tan Sri Muhyiddin Berhubung Situasi Negara

Kesedaran Rakyat Penting Dalam Memerangi COVID-19 – Ini kerana Tan Sri Muhyiddin menyifatkan pemulihan negara bergantung kepada kesedaran, sikap dan amalan setiap rakyat dalam menanganinya.

Sekiranya perkara ini tidak diperkasakan, fasa pemulihan tidak akan berterusan, dan krisis COVID-19 ini akan menjadi lebih buruk.

Penerapan normal baharu perlu diteruskan.

Ini meliputi penjagaan penjarakan fizikal serta pemakaian pelitup muka. Malah, Tan Sri Muhyiddin turut memperkatakan kawalan sempadan antara negara akan terus diperketatkan selagi perolehan vaksin masih lagi tidak ditemui.

Pertumbuhan Ekonomi Malaysia Terjejas – Malaysia kini mencatatkan penguncupan pada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dengan 17.1%. Tan Sri Muhyiddin menyifatkan penyusutan ini disebabkan ketidaktentuan ekonomi global yang turut merosot. Ia secara tidak langsung mengakibatkan prospek negara menjadi kurang memberangsangkan.

Selain itu, tumpuan negara kini akan beralih kepada Meningkatkan Pelaburan Domestik dan Perbelanjaan Pengguna. Menerusi tumpuan ini, ia secara terus ia dapat merancakkan semula aliran tunai ekonomi negara. Setakat ini anggaran jumlah pelaburan RM19.2 bilion (52.3%) pelaburan langsung domestik telah diperuntukkan dan pelaburan langsung asing pula sebanyak RM17.5 bilion (47.7%).

Malaysia kini menjangkakan terdapatnya 141 projek pelaburan yang telah dikenalpasti dengan nilai pelaburan sebanyak RM72.6 bilion. Ini antara projek yang berpotensi dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

Penekanan Terhadap Usaha Pendigitalan Malaysia – Tan Sri Muhyiddin turut mengatakan pihak kerajaan kini turut komited dalam membawa perubahan kepada landskap ekonomi negara dengan peralihan digital. Ia merangkumi pelbagai sektor, antaranya adalah ekonomi, pentadbiran, pendidikan, sosial dan perkhidmatan.

Adakah Rakyat Bersedia?

Bagaimanapun, segala cadangan dan pelan kerajaan ini diperhatikan menuntut komitmen yang tinggi daripada rakyat negara.

Keadaan ini mungkin tidak seimbang. Ianya kerana prinsip rakyat dilihat tidak menentu.

Mereka seolah-olah berasa selesa akan tahap kesihatan ketika ini. Namun apabila peningkatan kes mulai berlaku – rakyat seakan terkejut dengan situasi itu, sedangkan peningkatan kes itu berlaku disebabkan ketidakpatuhan mereka dalam memutuskan rantaian COVID-19.

Jadi persoalannya, adakah rakyat bersedia? Mampukah kita bersedia?

Sekiranya sebelum ini kita mampu mengatasi jumlah kes yang lebih besar, mengapa tidak sekarang?

Dengan kedudukan ekonomi negara yang sedang menjunam, kadar pengangguran pula semakin meningkat sekitar 700,000 individu dan hutang negara terus meninggi – adakah kepercayaan rakyat mula pudar disebabkan faktor ini?

Ketegasan kerajaan diperlukan dalam persoalan ini. Ini kerana segala kepincangan dari aspek kesihatan, ekonomi dan perundangan memerlukan pelaksanaan yang jelas.

Hendak Seribu Daya, Tak Hendak Seribu Dalih

Selaku rakyat negara, penulis harus akui – segala tuntutan kerajaan itu memiliki kebenarannya.

Meskipun, kurang enak akan hasil KDNK negara, namun penulis masih bersetuju bahawa rakyat perlu patuh akan garis panduan COVID-19. Ini kerana pematuhan dalam menangani COVID-19 harus diteruskan. Ia bukan sekadar mengekang penularan namun turut menampilkan hasil yang positif untuk keselamatan rakyat negara.

Siapa tahu melalui usaha kecil ini, ia dapat mendatangkan impak yang besar buat pertumbuhan ekonomi negara kita.

Sekiranya hari ini kita gagal dalam menyahut cabaran tersebut, kelak Malaysia akan cendurung mengalami kesukaran yang lebih besar dalam arena global.