Permohonan merentas sempadan antara Malaysia dan Singapura kini telah mencapai had kuota maksimum.
Menurut Jabatan Imigresen Malaysia kuota perjalanan merentas sempadan yang menggunakan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Pengaturan Ulang Alik Berkala (PCA) untuk 17,18 dan 19 Ogos ini telahpun penuh.
Setakat ini pihak imigresen telah menerima sekitar 180 permohonan RGL dan 6,000 permohonan PCA. Untuk makluman, RGL akan membolehkan perjalanan merentas sempadan untuk tujuan perniagaan dan rasmi antara kedua-dua negara.
Sementara itu, PCA pula akan membenarkan penduduk Singapura dan Malaysia memegang pas imigrasi dalam jangka masa panjang.
Setakat ini kedua-dua buah negara membenarkan perjalanan RGL seramai 400 individu seminggu dan PCA pula had kemasukannya adalah 2,000 individu sehari.
Bagi memastikan kelancaran aliran lalu lintas, jabatan dan agensi berkaitan seperti polis dan Jabatan Kesihatan Johor, akan dikerah pada bahagian bas, pejalan kaki, kereta dan motosikal.
Keputusan permohonan hanya akan diketahui sehari sebelum tarikh perjalanan mereka.