Artikel

Setelah 35 Tahun, Penghasilan Komputer Riba Toshiba Melabuhkan Tirai

Setelah hampir 35 tahun dalam pengeluaran produk komputer peribadi, Toshiba kini mengumumkan pengunduran diri mereka.

Pembabitan Toshiba dalam arena pengeluaran produk teknologi sudah tidak asing lagi sejak tahun 1985. Ia bermula menerusi pengeluaran komputer peribadi siri T1100. Pada ketika itu sasaran produk tersebut sekadar 10,000 unit jualan sahaja. Namun siapa sangka – Toshiba terus gah dengan pengeluaran peranti pintar mereka dalam teknologi.

Tidak hanya tertumpu kepada pembuatan komputer riba, tetapi turut merangkumi pengeluaran produk teknologi lain.

Bagaimanapun era tersebut telah berakhir.

Untuk makluman pada 9 Ogos 2020 – Toshiba telah bertindak untuk menjual saham terakhirnya bagi pengeluaran komputer peribadi Dynabook.

Ini bermakna syarikat itu tidak lagi mempunyai kaitan dengan pembuatan PC atau komputer riba.

Ramai yang tertanya – mengapa tindakan sedemikian dilakukan? Apakah krisis COVID-19 meruncingkan lagi perniagaan mereka?

Sudah pasti, jawapannya adalah ya.

Namun apa yang lebih tepat adalah kemasukan jenama-jenama yang premium turut merencatkan lagi unit jualan produk mereka.

Kenyataan ini dapat dilihat apabila kemerosotan yang ketara telah dicatatkan. Mereka mula mengalami kerugiaan pada tahun 2015, dengan angka RM1.3 bilion (AS$318 juta).

Manakala, jurang unit jualan bagi tahun 2011 dan 2017 turut mempamerkan kejatuhan . Di mana pada 2011, lebih 17 juta unit komputer peribadi telah berjaya dijual, sementara itu 2017 – Toshiba sekadar  menjual 1.9 juta unit sahaja.

Sehingga kini, Sharp telah membeli sebanyak 80.1% pegangan pengeluaran komputer peribadi Toshiba pada 2018 dengan harga RM151 juta (AS$ 36 juta), dan kini telah membeli baki saham keseluruhan sebanyak 19.9% pula.

Malah, Toshiba turut berpendapat – untuk bertahan pada pasaran komputer dunia ketika ini adalah amat sukar. Ia kerana mereka perlu bersaing dengan jualan jenama komputer premium seperti Apple misalnya. Malah krisis COVID-19 turut menjadi faktor mengapa kadar pemintaan jualan semakin merosot.

Maka, berakhirlah era penglibatan Toshiba dalam penghasilan produk komputer riba pada pasaran dunia secara mutlak.