Dato’ Khairul Anwar Salleh (atau Dato’ Khai) telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) berkuat kuasa 1 Ogos 2020.
Beliau akan melaporkan diri kepada Dato’ Iskandar Mizal Mahmood, Pengarah Urusan Kumpulan, Media Prima Berhad (MPB).
Lantikan Dato’ Khai untuk menerajui segmen TV Media Prima mungkin adalah ‘suntikan’ perniagaan yang sangat diperlukan oleh MPTN sekarang ini.
Dato’ Khai memiliki pengalaman lebih dari 25 tahun di industri media dan hiburan, merangkumi produksi seni, televisyen dan pentas, hingga pengurusan kandungan dalam bidang keusahawanan dan korporat.
Sebelum ini, beliau adalah Naib Presiden, Perniagaan Kandungan Melayu dan Nusantara di Astro Malaysia Holdings Berhad dari Mac 2010.
Antara usaha beliau yang telah meraih puluhan juta ringgit untuk Astro dan Astro Shaw, serta penerbit-penerbit lain termasuk filem-filem Hantu Kak Limah, Paskal dan Polis Evo 2.
Beliau telah memenangi pelbagai anugerah di peringkat domestik dan antarabangsa termasuk Malaysian Book of Records for Longest Non-Stop Live Comedy Show 2014, Anugerah Seri Angkasa 2005 untuk ‘Program Komedi Terbaik’ – Ada-ada Saja, dan merupakan finalis di New York Festivals 2001 untuk Anugerah Planet Music 2000.
Beliau juga dianugerahkan ‘Drama atau Telemovie Single Terbaik’ di Asian TV Awards bagi Tulus Ikhlas (Pemenang) pada tahun 2016 dan Ana Anak Ibu (Sangat Dipuji) pada tahun 2017.
Dato’ Khai adalah ahli Jawatankuasa Eksekutif, The Cultural Economy Development Agency (“Cendana”).
Beliau menerima Ijazah Sarjana Muda Seni Halus (Arca) dari Curtin University of Technology, Australia Barat pada tahun 1992 dan Diploma Lukisan dari La Salle College of Arts pada tahun 1989.
Suntikan Yang Diperlukan MPTN?
Dato’ Iskandar Mizal Mahmood, Pengarah Urusan Kumpulan, Media Prima menyatakan sokongan yang padu terhadap lantikan ini.
“Dato’ Khairul adalah tokoh terkenal dalam industri media dan hiburan serta mempunyai rekod prestasi yang terbukti dalam penyampaian kandungan menarik yang diketahui dan disukai oleh rakyat Malaysia.
“Kami berbesar hati menerima kehadirannya ketika kami mempercepat fasa transformasi perniagaan kami yang seterusnya.
“Kami yakin bahawa beliau akan memberikan sumbangan besar kepada Kumpulan, terutamanya pada masa-masa yang mencabar ini,” kata Dato’ Iskandar.
Pekerja Semakin Sedikit, Namun Daya Kreatif Tetap Tinggi?
Pada bulan Jun 2020, Media Prima dilaporkan akan mengurangkan pekerja mereka sebanyak 300 orang.
Sebelum ini, MPB telahpun mengurangkan pekerja mereka di antara Dis 2019 dan Mac 2020.
Menurut laporan kajian CGS-CIMB, jumlah pekerja MPB hari ini dilaporkan sekitar 1,000 orang.
Sebagai perbandingan, data CGS-CIMB menunjukkan pada akhir 2018, jumlah pekerja adalah sebanyak 3,867.
Bagi pemerhati neutral, staf yang masih bekerja dengan MPB adalah merupakan mereka yang masih kritikal untuk membangunkan syarikat itu.
Namun demikian, daya tarikan untuk syarikat ini mengeluarkan karya kreatif masih keterbelakang, jika dibandingkan dengan Astro. Astro sebelum ini berjaya meraih jutaan ringgit melalui penerbitan-penerbitan syarikat itu.
Khai The Man?
Dato’ Khai merupakan watak penting dalam membangunkan kandungan yang menarik, dan mampu membantu meraih keuntungan berjuta ringgit.
Beliau sangat berjaya sewaktu bersama Astro.
Adakah ini masanya untuk Media Prima mara ke hadapan dengan membawakan kandungan yang bukan sahaja mampu menarik perhatian ramai, tetapi juga mampu menghasilkan keuntungan yang banyak bagi syarikat yang sedang kritikal ini?