Artikel

Apple Mengatasi Saudi Aramco Sebagai Syarikat Paling Bernilai Di Dunia

Apple kini menjadi syarikat yang paling bernilai di dunia dari segi nilai pasaran, sekaligus mengatasi Saudi Aramco yang memegang takhta sebelum ini.

Nilai pasaran saham Apple melonjak naik selepas mengumumkan pendapatan suku tahunan yang meningkat. Nilai saham Apple didagangkan pada nilai $425.04, sekaligus menjadikan permodalan pasarannya mencapai $1.82 trilion.

Saudi Aramco sebagai perbandingan kini mempunyai nilai permodalan pasaran mencapai $1.76 trilion.

Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan sejumlah negara pada tahun ini telah membuatkan ramai beralih ke arena digital – secara tidak langsung memperkukuhkan lagi kedudukan Apple. Tahun ini sendiri menyaksikan peningkatan permintaan untuk peranti seperti komputer dan tablet, selain permintaan untuk perkhidmatan digtial. Apple sendiri menjana pendapatan tambahan melalui kedai aplikasi, selain penawaran perkhidmatan dan peranti mereka sendiri. Tahun ini sahaja memperlihatkan nilai saham Apple meningkat sebanyak 45%.


Sementara untuk Saudi Aramco pula, mereka memperlihatkan penurunan sebanyak 6.4% sejak penghujung tahun 2019 lepas. Salah satu sebabnya adalah disebabkan penurunan harga minyak dunia. Namun, jikalau dibandingkan, nilai Saudi Aramco masih tinggi jikalau dibandingkan dengan syarikat minyak yang lain.