Artikel

JobStreet : Permintaan Pekerja Sektor Pelancongan Dan Hospitaliti Mula Pulih Secara Perlahan

Penularan wabak Covid-19 telah memberikan impak yang besar untuk pelbagai sektor – terutamanya sektor pelancongan dan hospitaliti. Melalui bancian yang telah dilakukan oleh JobStreet sebelum ini, ia didapati sekitar 63% pekerja di agensi pelancongan, 66% di bidang hospitaliti dan 60% di bidang makanan telah menerima impak – dan telah kehilangan pekerjaan disebabkan oleh Covid-19 ini.

Apa pun, kini ia dilihat sektor berkenaan mula beransur pulih secara perlahan-lahan.

Melalui pemerhatian JobStreet, ia dilihat pengiklanan untuk pekerjaan melibatkan sektor pelancongan dan hospitaliti mula beransur pulih secara berperingkat. Sejak Mei ke Jun 2020 yang lepas, pengiklanan pekerjaan berkaitan dengan sektor ini telah meningkat sekitar 22.8%.

Hal ini juga selari dengan suntikan dana kerajaan sendiri mencapai RM1 bilion dibawah program PENJANA dalam usaha meningkatkan dan popularkan kembali pelancongan setempat dan domestik. Sebelum ini, sejak Perintah Kawalan Pergerakkan Pemulihan dilaksanakan sejak Jun lepas, pelbagai industri dan sektor telah mula pulih secara berperingkat – sekaligus memperlihatkan peningkatan permintaan untuk pekerja daripada pelbagai syarikat dan perusahaan tempatan.