Artikel

RTS JB-Singapura Bakal Beroperasi Pada Akhir 2026 Kelak

Tidak lama lagi, Malaysia dan Singapura akan menandatangani perjanjian bagi Sistem Transit Rapid Landasan Johor Bahru-Singapura (RTS).

Acara perjanjian tersebut akan diadakan di Causeway dan bakal disaksikan oleh kedua-dua Perdana Menteri negara.

Kerjasama itu akan dikuatkuasakan pada 30 Julai ini, di mana membawa kepada persetujuan kepada kenaikan kos sejumlah RM500 juta berbanding RM3.16 bilion yang diunjurkan sebelum ini.

Menurut Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Menteri Pengangkutan – kos tersebut adalah berdasarkan perubahan spesifikasi pada pembangunan projek tersebut. Di mana setelah memutuskan untuk memindahkan stesen Singapura ke Johor, sebuah depot baharu akan dibina.

Malah, tambahnya lagi, pembinaan projek ini dijangka bermula pada Januari 2021 dan berakhir pada tahun 2026.

Setakat ini, status rundingan antara dua buah negara menunjukkan pembinaan RTS akan memiliki dua fasa iaitu pada awal tahun 2021 hingga tahun 2024 adalah pembangunan struktur sivil. Manakala fasa kedua pula tahun 2025 dan 2026 – tumpuan kepada pembangunan sistem isyarat, stok gerabak serta pelbagai pengujian sistem.