Artikel

Mulai November, Harga Tiket Penerbangan Dijangka Seperti Biasa

Harga tiket penerbangan kini dijangka kembali seperti biasa menjelang November ini. 

Kenyataan ini telah diberikan berdasarkan analisis yang dibuat oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM). Sekiranya penerbangan dapat beroperasi sepenuhnya dan mencapai kapasiti pelanggan maka tindakan ini dapat dilaksanakan.

Menurut Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Menteri Pengangkutan – tindakan itu bagaimanapun akan bergantung sepenuhnya kepada situasi semasa berikutan krisis COVID-19 masih belum berakhir. 

Sebelum ini, pihak industri telah menjangkakan sekitar 18 bulan tempoh pemulihan yang perlu dilalui oleh penerbangan untuk bahagian domestik. Manakala laluan udara antarabangsa pula dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun. 

Pihak kementerian juga telah bertemu dengan beberapa syarikat penerbangan tempatan berikutan pengurangan harga tiket – namun inisiatif ini sukar untuk dilakukan. Ia kerana bergantung kepada kadar permintaan pelanggan.

Setakat ini, kadar harga tiket penerbangan menunjukkan tanda positif dan stabil. Di mana kadar tersebut hampir sama dengan harga purata yang ditawarkan pada tahun lalu. 

Untuk makluman, sejumlah 114,693 domestik dan 55,035 penerbangan antarabangsa terpaksa dibatalkan oleh syarikat penerbangan sepanjang Januari hingga Jun 2020.