Kadar pengangguran Malaysia terus meningkat kepada 5.3% pada Mei 2020.
Ini bersamaan dengan 826.1 ribu orang penganggur.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa kadar pengangguran terus meningkat 0.3 mata peratus bagi perbandingan bulan ke bulan kepada 5.3%.
DOSM menyatakan ini berikutan bilangan penganggur meningkat sebanyak 47.3 ribu orang berbanding April 2020.
Walau bagaimanapun, peningkatan bulanan bilangan penganggur pada Mei 2020 ini adalah lebih rendah berbanding peningkatan yang dicatatkan bagi Mac ke April, iaitu sebanyak 168.3 ribu orang.
Menurut DOSM, pengurangan tersebut berkemungkinan disebabkan oleh pelaksanaan pelbagai pakej rangsangan bagi mencapai sasaran tertentu di samping lebih banyak perniagaan yang dibenarkan beroperasi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat dalam bulan tersebut.
Daripada jumlah tenaga buruh pada bulan Mei 2020, penduduk bekerja mencatatkan penurunan marginal 0.3% (April 2020: -2.0%) bulan ke bulan kepada 14.89 juta orang.
Berikutan pengesanan peningkatan kluster COVID-19 di kalangan pekerja asing oleh pihak berkuasa kesihatan, penurunan pekerja yang ketara juga didapati berlaku di sektor Pembinaan.
Mengulas lebih lanjut mengenai situasi tenaga buruh, Ketua Perangkawan Negara Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin memaklumkan, bilangan bekerja sendiri terus menurun sejak Mac 2020.
Pada Mei 2020, kumpulan ini adalah seramai 2.42 juta orang, berkurang 161.5 ribu orang berbanding April 2020. Kebanyakannya adalah bekerja secara gaji harian di pasar tani, pasar malam dan gerai makanan; freelancers dan serta pekebun kecil.
Oleh kerana fasa PKP Pemulihan masih lagi tidak membolehkan perniagaan mereka beroperasi seperti biasa, kumpulan bekerja sendiri ini dilihat berisiko tinggi terhadap kehilangan pekerjaan dan pendapatan.