Artikel

Graduan Yang Kurang Kreatif Atau Industri Yang Terlalu Pasif?

Apabila bercerita tentang graduan dan industri – sudah pasti pelbagai pertikaian mula timbul.

Di mana, para graduan sering dikaitkan dengan masalah kemahiran, pengalaman dan kekurangan daya kreatif dalam sesebuah bidang. Kebiasaannya kenyataan ini mula wujud apabila terdapatnya isu graduan memilih kerjaya atau permintaan kadar upah yang tinggi melebihi kemampuan diri mereka.

Manakala industri pula turut mendapat maklum balas yang besar berikutan tentang persoalan kadar upah, tahap produktiviti, kualiti kerjaya serta kemampuan sesebuah syarikat itu dalam menyumbang kepada industri negara. 

Namun apa yang perlu kita sedar adalah kedua-dua panel ini memainkan peranan yang sangat penting sebenarnya dalam memastikan peningkatan pada pertumbuhan ekonomi Malaysia. Lebih-lebih lagi ketika negara sedang berdepan dengan pelbagai masalah dunia.

Landskap ekonomi negara pada ketika ini amat membimbangkan. Di mana negara kini sedang berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi semasa dan krisis pandemik COVID-19.

Tahun 2020 seharusnya menjadi tahun yang gah buat setiap negara, termasuklah Malaysia. Namun siapa sangka, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (JPM) menjangkakan kadar pengangguran kini melebihi 800,000 individu. Mengikut data JPM, ini adalah kadar pengangguran tertinggi sejak tahun 1989 lagi.

Ini amat membimbangkan. 

Pelbagai persoalan mula timbul, apakah nasib para graduan tempatan? Dan bagaimana pula dengan pembangunan industri ekonomi negara? Adakah perkara ini mampu dipulihkan semula?

Status Graduan

Umum ketahui, keperluan penghasilan graduan adalah untuk memenuhi kehendak pasaran industri. Bagaimanapun ternyata perkara tersebut masih lagi tidak memadai.

Ini kerana berdasarkan pengamatan laporan Oktober 2019 pada Sistem Kajian Pengesanan Graduan 2018 menunjukkan hampir 60% siswazah tempatan adalah penganggur setelah menamatkan pengajian mereka.

Kenyataan ini merujuk kepada lebih 30,000 graduan (59.9%) daripada 51,365 graduan tidak memiliki pekerjaan. Itu adalah catatan bagi tahun 2018, bagaimana pula dengan tahun 2020? Apakah angka itu semakin menurun? Jawapannya adalah tidak. 

Melihat pada keadaan ini, adakah graduan semasa tidak mampu lagi memenuhi kehendak pasaran atau adakah punca tersebut tidak pada graduan namun pada industri itu sendiri.

Status Industri

Kebanyakan industri di Malaysia – rata-ratanya masih membayar kadar upah yang jauh lebih rendah berbanding dengan hasil produktiviti yang dipamerkan. 

Ini sekaligus menunjukan kelembapan aliran tunai pada pertumbuhan industri negara.

Kenyataan ini dapat dilihat pada laporan tahunan Bank Negara Malaysia 2018 yang memaparkan ketidakseimbangan dalam pengagihan kadar upah tempatan. 

Meskipun, sudah mengambilkira faktor penyelarasan produktiviti, Malaysia sekadar membayar RM1,386.35 (AS$340) berbanding dengan nilai produktivitinya yang diukur adalah RM4,077.5 (AS$1,000).

Tindakan ini sejelasnya tidak seimbang.

Malah apa yang lebih memeritkan, tindakan tersebut telah didorong faktor syarikat untuk mengekalkan margin perniagaan mereka. Di mana, kenaikan upah atau gaji pekerja ini mampu mengurangkan margin perniagaan, disebabkan itu sesetengah syarikat tidak mahu mengambil risiko kenaikan pada kadar upah. 

Salah Siapa?

Graduan

Sekiranya pada ketika ini kita diarahkan menunding jari – sudah pasti Institusi Pengajian Tinggi adalah pihak yang tepat untuk dipersoalkan.

Ini kerana, peranan institusi pengajian adalah untuk menyerlahkan lagi kemahiran para graduan seiring dengan keperluan industri. Perkara ini perlu dicapai pada pembelajaran teori mahupun teknikal.

Susulan itu tuntutan mengkaji semula segala penawaran kos di peringkat institusi perlu dilakukan. Termasuklah kelayakan dan kesesuaian minat pelajar tersebut perlu dipertimbangkan.

Sebagai contoh penawaran kos media perlu dilihat penggunaan medium penyampaian maklumatnya.  Apakah penghasilan media menerusi platform akhbar sewajarnya diberi tumpuan? Bagaimana pula dengan penerapan teknologi media digital?

Kenyataannya rata-rata universiti masih lagi mengekalkan subjek yang berteraskan teori semata-semata.  Bagi pendapat penulis tindakan ini adalah tidak tepat kerana ia dilihat sama sekali tidak membantu sebarang peningkatan pada kemahiran graduan.

Seterusnya, isu lain boleh diperhatikan juga adalah lambakan kos. Pihak institusi seharusnya mengehadkan kadar pengambilan mengikut permintaan pasaran industri. Ini merangkumi pemerhatian pada kedudukan ekonomi dan kestabilan sesebuah industri.

Sekiranya tindakan itu tidak dapat dilakukan, ia tidak membantu pemain industri dalam meningkatkan produktiviti, sebaliknya ia hanya memusnahkan harapan para graduan untuk turut menyumbang kepada industri.

Faktor ini yang mengakibatkan kelayakan para graduan dinafikan oleh industri.

Industri

Landskap ekonomi yang tidak menentu dan penerapan teknologi yang semakin meningkat ini telah menjadi faktor mengapa kadar pengangguran terus tinggi.

Melihat pada situasi ini – kebanyakan premis perniagaan dalam industri tidak mahu melakukan sebarang risiko dengan menambah pekerja baharu. Malah sekiranya benar mereka ingin berbuat demikian – kriteria kemahiran graduan tersebut haruslah tinggi. Ini kerana sesetengah pemain industri beranggapan keadaan kronik pada masa ini memerlukan kepantasan kreativiti graduan untuk membantu pertumbuhan industri.

Selain itu, penjimatan kos juga perlu dilakukan demi menyeimbangkan semula operasi industri tersebut.

Namun, apa yang mengelikan hati penulis adalah isu kemahiran graduan ini sering kali dipertikaikan oleh para pemain industri – tetapi apakah inisiatif mereka dalam membantu para graduan?

Seharusnya, pemain industri memberi penekanan ketika latihan industri diberikan kepada para graduan tersebut. Ini kerana berdasarkan pengalaman, rata-rata latihan industri yang diberikan sekadar memenuhi kelulusan untuk menamatkan pengajian sahaja, tidak menumpukan pada keperluan pasaran.

Industri juga perlu sedar penglibatan mereka dalam mencorakkan kemahiran pada para graduan adalah amat penting. Ini bukan membawa erti ‘semua graduan harus disuap’ namun lebih kepada panduan mengajar mereka tentang realiti sebenar alam pekerjaan.

Menerusi pendedahan itu, ia bukan sekadar meningkatkan kemahiran graduan namun turut menyesuaikan tahap mental mereka tentang keperluan pasaran industri.