Sebelum wujudnya teknologi emel yang dicipta oleh Ray Tomlinson pada 1971 – rata-rata masyarakat dunia menggunakan kaedah kiriman surat sebagai alternatif komunikasi dalam penyampaian maklumat.
Maka, Malaysia juga tidak asing akan penggunaan kaedah tersebut. Namun sedarkah anda, Pos Malaysia- perkhidmatan penghantaran negara ini adalah antara syarikat yang tertua di Asia Tenggara. Dan percayakah anda, Pos Malaysia telah bertahan sekitar 200 tahun dalam industri ekonomi negara. Menarik bukan?
Permulaan Empayar Perkhidmatan Penghantaran
Pada awal penubuhan sekitar tahun 1800-an, syarikat penghantaran ini dikenali sebagai The Straits Settlements Postal And Telegraph Service – di mana pembangunannya beroperasi di Negeri-Negeri Selat (NNS) – iaitu Melaka, Pulau Pinang dan Singapura. Tindakan penubuhan ini adalah untuk memenuhi tuntutan perutusan khas kepada negara Eropah, India dan China.
Pada masa itu pejabat pos sekadar menawarkan perkhidmatan penghantaran surat sahaja dengan menggunakan kiriman dan perkhidmatan telegraf. Ketika itu tiada sebarang penekanan ke atas penggunaan cap pos, dan surat-surat itu hanya dikenali sebagai sampul pra-cap.
Di mana, setiap kandungan surat akan dilipat dengan rapi bagi menjaga privasi, dan kemudiannya ditutup dengan cairan lilin.
Tanda pos pada surat-surat ini memainkan peranan yang penting. Ia merujuk kepada bahagian laluan yang diambil oleh kapal pos dan berapa jarak perjalanan penghantaran tersebut.
Terdapat dua warna tanda pos yang berbeza iaitu merah dan hitam. Ia adalah simbolik kepada pembayaran wang pos tersebut. Sekiranya Pejabat Pos menggunakan cap dakwat merah, itu menandakan bayaran pos tersebut telah dibuat, manakala warna hitam pula merujuk kepada bayaran pos yang akan diambil dari penerima sahaja.
Bagaimanapun, bermula tahun 1840 pengenalan cap pos di Eropah mula dijalankan. Tindakan ini bagi memperkasakan sistem dokumentasi dalam penyusunan bahan penghantaran.
Maka tahun 1867, sistem penghantaran telah mulai berubah, di mana penggunaan setem India yang memiliki elemen mahkota, cap Selat dengan cetakan simbol dolar dan sen telahpun digunakan.
Setem ini adalah setem India yang dikeluarkan oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI), kerana pada ketika itu Negeri Selat telah ditadbir oleh SHTI yang berpusat di bawah British India. Sampul ini menandakan bagaimana surat tersebut dihantar dari Negeri Selat ke Eropah. Malah, ia turut menjadi bukti kepada laluan laut yang digunakan pada persinggahan di India, diikuti perjalanan darat Southampton ke England.
Malah apa yang menarik, setiap surat yang dihantar dari Negeri-Negeri Selat ini akan menggunakan kodĀ tersendiri. Ianya adalah “B172” untuk Singapura, “B109” untuk Melaka, dan “B147” untuk Pulau Pinang. Pengekodan ini bagi mengasingkan sistem dokumentasi pensuratan pada ketika itu.
Setelah perkhidmatan penghantaran ini dikembangkan ke seluruh kawasan Tanah Melayu, kerajaan telah tampil dengan pengenalan set pertama pos Tanah Melayu pada tahun 1901. Sejak daripada itu, pengenalan set setem bagi setiap negeri mula dilaksanakan.
Penstrukturan Semula Operasi
Usai Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada Ogos 1957, perkhidmatan pos ini telah dijadikan sebahagian daripada jabatan kerajaan, iaitu dibawah Jabatan Pos Negara (JPN).
Setelah itu, JPN mula meluaskan empayar mereka, tidak hanya mengfokuskan kepada penghantaran surat sahaja kini tertumpu kepada beberapa penyedia perkhidmatan.
Antaranya adalah pengiriman bungkusan, pendaftaran, perkhidmatan insurans, transaksi kiriman wang dan Bank Simpanan Pejabat Pos. Malah, turut merangkumi perkhidmatan lain seperti pembayaran bil elektrik, pembayaran pencen, dan penjualan lesen televisyen.
Bagaimanapun pada tahun 1992, Pos Malaysia Berhad telah diperbadankan dari Jabatan Pos Negara. Pada tahun 2001, Pos Malaysia telah disenaraikan pada Bursa Malaysia Berhad menerusi pengambilalihan oleh Philio Allied Berhad. Tindakan tersebut mengejut semua pihak, ini kerana ia adalah tindakan pengambilalihan syarikat awam oleh syarikat yang lebih kecil (reverse takeover).
Sejak itu, Pos Malaysia telah tampil sebagai sebuah entiti swasta sepenuhnya.
Peralihan ekonomi digital ini sedikit sebanyak telah menuntut perubahan pada pengendalian perkhidmatan penghantaran mereka. Jika dulu, kehadiran posmen adalah penting dalam komuniti masyarakat namun kini keadaan tersebut sedikit berbeza. Malah, penggunaan surat fizikal juga hanya tertumpu kepada penggunaan urusan rasmi sahaja.
Menyedari peningkatan teknologi mampu mengugat peranan perkhidmatan, Pos Malaysia perlu memaparkan pelbagai langkah baharu. Antaranya adalah dengan penyediaan Unit Perniagaan Strategik seperti mempelbagaikan perkhidmatan dalam penghantaran barangan seperti POS Laju dan POS Ekspres, pembayaran bil, pembaharuan lesen memandu, penghantaran item antarabangsa, gudang dan penyediaan platform e-dagang tersendiri.
Meskipun, peralihan itu mengubah landskap operasi syarikat tertua di Malaysia – namun setakat ini, syarikat dibawah pengendalian Syed Md Najib Syed Md Noor berjaya mencatatkan perolehan sekitar RM2.08 bilion dan hasil keuntungan yang diperolehi telah mencecah sehingga RM84 juta.
Sehingga kini Pos Malaysia telah memiliki seramai 23,336 kakitangan di seluruh 926 cawangan di Malaysia.
Masa Hadapan: Penggunaan Dron Pada Perkhidmatan
Jangkaan dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang, Pos Malaysia telah merangka pelan bersama kerjasama agensi lain untuk menjadikan dron, sebagai alat alternatif mempercepatkan proses penghantaran.
Strategi ini mula ketengahkan apabila platform e-dagang dibangunkan. Susulan aliran trafik dan pemintaan yang tinggi menjadikan Pos Malaysia melihat potensi pada penggunaan dron ini.
Walaupun, proses tersebut masih lagi sedang dinilai – namun pihaknya kekal optimis akan penglibatan peranti dron pada perkhidmatan mereka.
Siapa sangka, sebuah syarikat yang dahulunya sekadar memenuhi tuntutan perutusan khas, kini mampu bertahan sehingga 200 tahun dalam industri perkhidmatan penghantaran negara.
Namun, persoalannya mampukah Pos Malaysia mengekalkan kedudukannya selaku syarikat tertua di Malaysia dan apakah inisiatif seterusnya dalam mempelbagaikan empayar perkhidmatan penghantaran negara.
Sumber:
– Pos Malaysia Berhad
– Seaasia
– Singapore Philatelic Museum