Artikel

Dagangan AirAsia Digantung Sementara, Laporan Audit Bebas Cetus Tanda Tanya

Ernst & Young (EY) semalam (7 Julai) memaklumkan laporan penyata kewangan AirAsia Group Berhad yang berakhir pada 31 Disember 2019 dilihat tidak memenuhi syarat dan memiliki ketidaktentuan ketara (material uncertainty).

Namun EY tidak menyatakan perkara apa yang diluar syarat ini.

Berdasarkan laporan yang diserahkan kepada Bursa Malaysia oleh AirAsia, penyata ini mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM283 juta untuk tahun berakhir 31 Disember 2019 (TK19) dan liabiliti semasa melebihi aset semasa sebanyak RM1. 84 bilion.

Wabak COVID-19 terkesan kepada beberapa sektor tertentu seperti pelancongan dan penerbangan. AirAsia menggantung perkhidmatan penerbangan mereka selama beberapa bulan sepanjang tempoh PKP. Ini memburukkan lagi situasi kewangan serta aliran tunai kumpulan tersebut.

Ketidaktentuan ketara yang wujud di kumpulan ini telah menimbulkan keraguan pihak EY terhadap kemampuan AirAsia untuk meneruskan kelangsungan operasi (going concern).

Setakat ini, AirAsia telah mencatatkan kerugian bersih bernilai RM803.85 juta untuk 1QFY20, berbanding keuntungan bersih RM96.09 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.

Pendapatan menurun 15.3% kepada RM2.31 bilion daripada RM2.73 bilion.