Artikel

OPR Turun 25 Mata Kepada 1.75%

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia hari ini telah membuat keputusan untuk mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 1.75%. Berikutan itu, kadar tertinggi dan terendah OPR masing-masing dikurangkan kepada 2.00% dan 1.50%.

Menurut BNM, tindakan ini susulan krisis COVID-19 yang menyebabkan aktiviti ekonomi negara menguncup dan tekanan inflasi dijangka menjadi sederhana pada tahun 2020 ini.

Oleh itu, tindakan pengurangan OPR dilihat mampu memberikan rangsangan pada dasar tambahan bagi mempercepat kadar pemulihan ekonomi negara. Selain itu, sekiranya kadar OPR menjadi lebih rendah, rakyat secara amnya dapat membantu diri mereka dengan mendapatkan pinjaman dengan kadar pinjaman yang rendah.

Malah MPC juga akan terus menilai keadaan semasa dan implikasinya terhadap prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri secara keseluruhan.

Bank Negara Malaysia akan terus menggunakan alat-alat dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi yang berterusan.