Artikel

Standard Chartered Saadiq, HDC – Umum Kerjasama Perkasakan Pasaran Industri Halal

Biarpun krisis COVID-19 telah mengugat pembentukan ekonomi dunia dan harga minyak mentah ketika ini, namun industri halal kekal mempamerkan kedudukan yang mapan.

Kini Standard Chartered Saadiq dan Halal Development Corporation Berhad (HDC) telah menandatangani suatu Memorandum Persefahaman yang bertujuan untuk membantu syarikat Halal tempatan berkembang ke pasaran global.

Kerjasama ini dilhat secara tidak langsung membuka peluang permintaan baharu untuk produk industri halal, di mana ini merangkumi aspek proses pembuatan produk diberi jaminan dalam kebersihan, ketelusan dan keselamatan sesuatu produk. Peluang ini turut membuka peningkatan pasaran sehingga Asia, Afrika dan Timur Tengah.

Untuk makluman Program Halal360 oleh Standard Chartered menyediakan pakej patuh Syariah yang menyeluruh termasuk pembiayaan dagangan (trade financing), pengurusan mudah tunai (liquidity management) dan modal kerja (working capital) untuk keperluan perniagaan di dalam dan luar negara.

Beberapa insentif kewangan khas lain turut disediakan untuk perniagaan PKS halal dalam bentuk kadar pertukaran wang asing yang menarik untuk hasil eksport, kadar istimewa untuk akaun simpanan dan akaun semasa, serta kadar yang lebih rendah untuk program pembiayaan ansuran perniagaan.

Setakat ini, pengeksport Halal di Malaysia mencatatkan kadar pertumbuhan sebanyak 2.7% pada tahun 2019, seiring dengan kenaikan permintaan global terhadap produk yang disahkan halal.

Menurut Hairol Ariffein Sahari, Ketua Pegawai Eksekutif HDC, berkata, jumlah nilai export pada tahun 2019 mencecah RM40.2 bilion, sedikit meningkat berbanding RM40 bilion pada tahun 2018. Hal ini berikutan peningkatan permintaan dari negara di benua Amerika dan Asia Pasifik.

Malah, platform Bersepadu Halal (HIP) milik HDC ini dijangka akan mewujudkan sinergi yang melibatkan semua pihak berkepentingan dalam pasaran halal global atas satu platform digital, dengan fokus terhadap perdagangan dan e-dagang.