Artikel

Wirecard Malaysia Sedang Dipantau Rapi – BNM

Wirecard Payment Solutions Malaysia Sdn Bhd kini sedang dipantau rapi oleh Bank Negara Malaysia (BNM) susulan ibu syarikat mereka muflis di Jerman.

Menurut BNM, Wirecard Malaysia adalah sebuah entiti berlesen yang menjalankan perkhidmatan pemerolehan saudagar (merchant acquiring services) di bawah seksyen 17 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Wirecard AG, iaitu syarikat induk Wirecard Malaysia di Jerman, telah menfailkan prosiding ketakmampuan bayar (insolvency) di Jerman.

Menurut BNM, Wirecard Malaysia sedang mengkaji semula kedudukan dan operasi perniagaannya di sini.

BNM menegaskan bahawa mereka sedang memantau rapi operasi Wirecard Malaysia bagi memastikan syarikat tersebut terus memenuhi sepenuhnya obligasi penyelesaian mereka kepada para peniaga di Malaysia.

Dana yang perlu dibayar kepada peniaga ditempatkan dalam akaun bank berasingan dengan institusi perbankan berlesen di Malaysia dan tidak bercampur dengan dana operasi milik Wirecard Malaysia.

BNM juga menyatakan bahawa Wirecard Malaysia juga dikehendaki mengambil langkah penyelarasan dengan pengendali rangkaian kad untuk memastikan penyelesaian pembayaran kepada peniaga tidak terjejas dan bagi memudahkan kelancaran pemindahan perkhidmatan pembayaran kepada penyedia alternatif sekiranya perlu.

Kegiatan utama Wirecard di Malaysia adalah memproses pembayaran kad untuk peniaga.

Bank Negara Malaysia ingin memberikan jaminan kepada orang ramai bahawa sistem pembayaran kekal selamat dan kukuh, dan akan terus berfungsi dengan lancar.