Artikel

Tempahan Airbnb Catat 93% – Jangka Aliran Pelancongan Domestik Malaysia Meningkat

Berikutan peningkatan pada kadar tempahan Airbnb, aliran tunai bagi pelancongan domestik negara kini berada dalam fasa yang baik.

Airbnb kini mendedahkan tempahan domestik telah melonjak semula, sejak 30 hari yang lalu 93% peningkatan tempahan telah dicatatkan. Malah 64% tempahan bagi destinasi luar bandar telah dicatatkan setakat ini. Peningkatan ini sekaligus memberi cerminan bahawa peluang pelancongan untuk memulihkan kembali dan menjana semula ekonomi negara adalah tinggi.

Data ini selaras dengan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang membenarkan pergerakan rentas negeri, yang telah menyaksikan perhatian beralih ke pelancongan domestik sebagai pemacu utama bagi pemulihan dalam sektor ini.

Untuk makluman, tahun lalu Airbnb di Malaysia telah menyumbang sehingga RM3.7 bilion. Ini bermakna, para pengguna Airbnb tempatan telah berbelanja hampir RM3.3 bilion di Malaysia sahaja. Selain daripada penginapan, restoran, membeli-belah, pengangkutan, barangan runcit dan hiburan merupakan lima kategori perbelanjaan yang teratas bagi pengguna Airbnb.

Melalui pengamatan ini, Airbnb komited dalam meningkatkan aliran tunai ekonomi negara menerusi peningkatan pelancongan domestik ini.

Meskipun, sektor pelancongan mengalami kemerosotan yang ketara disebabkan krisis COVID-19, perolehan data Airbnb menunjukkan terdapat tanda-tanda awal positif ini dapat membantu pelancongan negara dibangunkan semula.

Peningkatan tempahan ini merangkumi Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, Cameron Highlands, Kuala Terengganu, dan Port Dickson.