Artikel

Rakyat Malaysia Khuatir Penerapan Teknologi Gugat Keperluan Pekerjaan

Hampir 70% rakyat Malaysia percaya bahawa arena teknologi bakal mengubah struktur pekerjaan mereka, bagi tempoh tiga hingga lima tahun kelak.

Kenyataan ini berdasarkan bancian laporan PwC pada Ketahanan Digital Dalam Era Baharu – di mana, laporan ini menunjukkan 77% responden di Malaysia berpendapat teknologi kini memainkan peranan yang penting dalam landskap pekerjaan mereka.

Sebilangan besar responden positif terhadap penerapan teknologi kerana ia membolehkan mereka melakukan pekerjaan yang lebih menarik (35%) dan membolehkan mereka menyelesaikan lebih banyak pekerjaan (27%).

Hasil tinjauan ini ternyata memberikan perspektif yang baik terhadap penglibatan teknologi dalam meningkatkan keperluan organisasi dan jurang kemahiran antara pekerja setelah krisis COVID-19 tular.

Bagaimanapun, masih terdapat kebimbangan berikutan faktor kestabilan pekerjaan. Di mana, 34% responden beranggapan adanya penglibatan teknologi akan mengugat kedudukan pekerjaan mereka.

Lebih menarik secara jelasnya dalam tinjauan ini turut mempamerkan percanggahan pendapat antara responden yang memiliki pendidikan tinggi dan lepasan SPM.

Rata-rata responden berpendidikan universiti dan mereka yang mempunyai sijil profesional percaya teknologi mampu memberikan lebih banyak peluang daripada risiko, berbanding lepasan SPM dan mereka yang mempunyai kelayakan dalam bidang teknikal.

Meskipun terdapat percanggahan tersebut, lebih 93% responden telah bersetuju bahawa mereka bersedia untuk meningkatkan pemahaman digital bagi meningkatkan kerelevanan pekerjaan dalam industri.