Artikel

Agihan Pendapatan ASB 3 Didik, ASN Equity 2 – 4.25 Sen, 2.0 Sen Seunit

Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) kini mengumumkan pengagihan pendapatan bagi dana harga tetap, Amanah Saham Bumiputera 3 – Didik (ASB 3 Didik) dan dana harga berubah, Amanah Saham Nasional Equity 2 (ASN Equity 2) masing-masing pada 4.25 sen seunit dan 2.0 sen seunit.

Pengagihan pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2020 ini menunjukkan ASB 3 Didik mencatatkan RM275.4 juta, dengan memanfaatkan 298,560 pemegang unit yang memiliki lebih daripada 6.5 bilion unit. Setakat 31 Mei 2020, ASB 3 Didik telah mencatatkan pendapatan bersih bernilai RM251.4 juta.

Manakala, ASN Equity 2 pula telah mengumumkan jumlah pembayaran agihan pendapatan sebanyak RM29.4 juta. Ini memberikan hasil dividen sebanyak 4.04% berdasarkan Nilai Aset Bersih dana setakat 25 Jun 2020.

Secara langsung ia memanfaatkan 33,277 pemegang unit, yang memiliki lebih daripada 1.4 bilion unit. Setakat 31 Mei 2020, ASN Equity 2 mencatatkan pendapatan bersih yang direalisasi sebanyak RM34.6 juta.

Pengagihan pendapatan yang diumumkan oleh dana-dana ini diperolehi daripada sasaran keuntungan, dividen dan pendapatan lain. Ini adalah selaras dengan matlamat PNB untuk terus memberikan pulangan jangka panjang kepada pemegang unitnya.

Untuk makluman, pengagihan yang diisytiharkan oleh kedua-dua dana ini akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit dan akan dikreditkan secara automatik pada 1 Julai 2020 bagi kedua-dua dana tersebut.

Pemegang unit boleh menyemak dan mengemas kini akaun mereka melalui portal ASNB www.myasnb.com.my atau melalui aplikasi mudah alih myASNB, atau di mana-mana cawangan ASNB.