KPJ Healthcare Bhd hari ini (29 Jun) telah melantik Ahmad Shahizam Mohd Shariff sebagai Pengarah Urusan baharu.
Pelantikan ini akan mula berkuat kuasa pada 1 Julai 2020.
Menerusi penamaan ini, beliau akan mengambil alih jawatan Datuk Amiruddin Abdul Satar, yang telah meletak jawatan, setelah berkhidmat selama tujuh tahun dalam jawatan itu.
Untuk makluman, Ahmad Shahizam sebelum ini memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari London School of Economics and Political Science pada tahun 1994 dan kemudian melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana Pentadbiran Awam dari Universiti Harvard pada tahun 2008.
Beliau memulakan kerjayanya di HSBC Bank Malaysia Bhd dan kemudian berkhidmat di pelbagai organisasi lain seperti Khazanah Nasional Bhd, Parkway Pantai Ltd dan IHH Healthcare Bhd.
Beliau sebelum ini juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Pantai Holdings Bhd dari Julai 2014 hingga Jun 2017, dan kemudian Ketua Pegawai Korporat di IHH Healthcare dari Julai 2017 hingga Disember 2017.
Sebelum itu, dia berkhidmat sebagai penasihat di Medplanner Sdn Bhd dan Healthcare Optimization Partners Sdn Bhd hingga Jun 2020.