Artikel

Seminggu Selepas Di Saman, Drama Bank Rakyat Berterusan

Bank Rakyat kini memohon agar semua pihak kekal bertenang.

Ini susulan bank itu disaman minggu lepas oleh beberapa ahli koperasi itu.

Ahli-ahli berkenaan telah memulakan prosiding undang-undang untuk mengambil alih pengurusan bank itu dari kerajaan.

Kumpulan ini mendakwa mereka mewakili 900,000 pemilik saham Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd dan ingin mengambil kembali pengurusan bank itu dari kerajaan.

Melalui peguam mereka Mohd Hanif Khatri Abdulla, permohonan ini adalah untuk mencabar keputusan mantan Menteri Koperasi, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof yang menghalang permohonan dari ahli Bank Rakyat untuk melupuskan undang-undang berkenaan dengan koperasi.

Kumpulan yang sedang saman bank ini adalah Tan Sri Abdul Aziz Zainal, Datuk Mustafha Abd Razak dan Datuk Rahim Yunus, mewakili pemegang saham Bank Rakyat.

Hari ini (29 Jun), bank itu mengeluarkan kenyataan memohon agar semua kekal tenang.

“Bank Rakyat menasihatkan anggota, pelanggan dan pihak berkepentingan Bank untuk kekal tenang dan menegaskan bahawa operasi perniagaan Bank berjalan seperti biasa dan masih menawarkan perkhidmatannya kepada pelanggan tanpa menjejaskan perniagaannya,” kata kenyataan itu.

‘‘Sebagai sebuah bank koperasi yang mempunyai hampir 900,000 anggota, Bank menganggap perbezaan pendapat dalam kalangan anggota adalah perkara biasa terutamanya untuk sebuah koperasi yang mempunyai jumlah anggota tertinggi di Malaysia.”

“Kejayaan Bank Rakyat untuk kekal sebagai bank koperasi Islam yang terbesar di Malaysia adalah didorong oleh sokongan yang diberikan oleh kerajaan kepada Bank selama ini.”

“Pada tahun ini, Bank Rakyat turut mempercepatkan pembayaran dividen bagi tahun 2019 sebanyak 14% serta pembayaran zakat perniagaan bagi membantu golongan B40 dan asnaf yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan susulan penularan COVID- 19,” tambah kenyataan itu lagi.