Krisis COVID-19 telah mengubah corak amalan operasi premis perniagaan pada pelbagai sektor. Ini termasuklah industri teknologi kewangan (fintech).
FINICA, startup fintech melihat keadaan ini bukan sekadar mengubah pelan operasi mereka namun turut mencabar kemampuan industri dalam mengekalkan keyakinan pengguna kewangan pada perubahan sistem rundingan kewangan.
Berikutan itu, bersama Vin Tan – Pengasas FINICA telah berkongsikan pendapat beliau berkenaan bagaimana krisis ini memberi impak kepada industri teknologi kewangan bagi perspektif mereka. Artikel ini meliputi pelbagai aspek seperti cara bekerja, permasalahan yang wujud dan langkah yang proaktif dilakukan bagi mengekalkan kedudukan syarikat industri teknologi kewangan pada situasi yang sukar ini.
Kepentingan Penerapan Teknologi
FINICA berpendapat COVID-19 telah mendorong sebahagian besar perubahan perniagaan dalam memulakan semula operasi mereka. Antara keperluan yang boleh difokuskan adalah dengan penerapan transformasi digital.
Transformasi digital adalah kunci kepada peralihan. Semua pemain industri bersama-sama menerapkan perubahan dengan transformasi perniagaan digital.
Transformasi digital bukan sekadar menggunakan penyelesaian digital. Malah ia merangkumi tinjauan keseluruhan mengenai semua proses perniagaan dan bagaimana penerapan teknologi dapat meningkatkan proses perniagaan serta aliran kerja pada hasil yang maksimum. Malah, COVID-19 turut menimbulkan pelbagai ketidakpastian dan menyebabkan semua pihak sukar untuk menjangkakan tempoh sebenar wabak ini akan berlanjutan.
Berada pada fasa yang sukar diramal ini memerlukan kesediaan kemampuan teknologi yang mencukupi dalam semua organisasi. Tindakan ini untuk menampung perubahan proses perniagaan dari semasa ke semasa.
Bagi operasi FINICA, setakat ini pihak mereka tidak memiliki sebarang permasalahan dalam pengendalian ketika krisis ini berlaku. Ini kerana, pelanggan FINICA sememangnya diberi pendedahan tentang penggunaan digital seperti melakukan perbincangan secara maya. Pasukan khidmat pelanggan mereka sentiasa tersedia dalam talian untuk menyelesaikan maklum balas / masalah yang dilaporkan oleh pelanggan melalui e-mel serta kaedah digital lain.
Rintangan
Antara perkara yang sering menjadi fokus utama adalah keyakinan pengguna. Ini kerana, selain perkhidmatan mereka, FINICA turut memiliki saingan dengan platform penyelesaian yang lain. Di mana, untuk mengalihkan perhatian pengguna pada sesebuah platform memerlukan tahap keyakinan yang tinggi. Itu adalah cabaran yang perlu dilalui FINICA, meskipun krisis COVID-19 berlaku persaingan antara pemain industri masih lagi berterusan.
Selain itu sebelum berlakunya COVID-19, terdapat keengganan dari beberapa pelanggan mereka untuk menggunakan penyelesaian berasaskan awanan kerana mereka lebih selesa dengan kaedah manual bagi pengurusan perniagaan. Walau bagaimanapun, krisis ini telah berjaya memaksa pelanggan untuk berubah. Perihal ini telah berjaya diatasi dengan penggunaan digital yang pantas didorong oleh kesan COVID-19.
Perubahan Cara Kerja Berdasarkan Kesesuaian Semasa
Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan COVID-19 ini, rata-rata perkhidmatan kewangan tidak dapat menjalankan operasi mereka dengan baik. Antaranya adalah segala pertemuan fizikal dan perhubungan secara terus dengan para pelanggan tidak dapat dilakukan, ini meliputi proses dokumentasi tergendala.
Oleh itu, bagi mengatasi cabaran tersebut – perubahan cara bekerja perlu dilaksanakan. FINICA tampil dengan idea sistem e-sign atau meluluskan urus niaga secara dalam talian perlu diperkasakan. Tindakan itu bagi memastikan perkhidmatan dapat dijalankan. Seterusnya, perkhidmatan nasihat kewangan boleh menjalankan kaedah perbincangan secara maya, meskipun pelanggan tidak dapat bertemu secara fizikal namun konsep profesional masih lagi dapat dikekalkan. Pelanggan FINICA dilihat lebih memilih untuk kekal berhubung menerusi talian telefon.
Kaedah itu dilihat lebih mudah serta mempercepatkan lagi proses perkhidmatan kewangan antara mereka.
Malah FINICA melihat kaedah itu lebih selesa dan teratur untuk kemudahan pelanggan mereka.