Prestasi trafik penumpang untuk sektor penerbangan dijangka jatuh bagi tahun ini.
Menurut Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) pada laporan Waypoint edisi ketujuh menganggarkan penurunan trafik penumpang adalah antara 48.7% hingga 50.3%.
Ini bermakna unjuran trafik penumpang merangkumi antara 54.3 juta penumpang hingga 56.0 juta penumpang untuk tahun 2020.
MAVCOM buat masa ini turut menganggarkan sebanyak 35.2 peratus adalah pembatalan tempat duduk domestik dan 42.9 peratus adalah pembatalan tempat duduk antarabangsa yang dijadualkan bagi tahun 2020, iaitu sebanyak 44.8 juta tempat duduk.
Faktor penurunan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh sekatan perjalanan yang dikenakan oleh negara-negara di seluruh dunia bagi mengawal penyebaran COVID-19, termasuklah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia yang berkuatkuasa pada 18 Mac lalu.
Setakat ini, seramai 19.6 juta penumpang dicatatkan dalam tempoh lima bulan pertama tahun 2020, iaitu penurunan trafik penumpang sebanyak 55.2 peratus tahun ke tahun. Bagaimanapun, pada awal Jun 2020, sebanyak 38.8 juta tempat duduk telah pun dibatalkan oleh syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa.
Jumlah ini dilihat jauh lebih tinggi berbanding anggaran MAVCOM sebelum ini iaitu sebanyak 31.0 juta tempat duduk untuk tahun 2020.
Susulan kemerosotan ini, laporan turut menjangkakan perolehan bagi syarikat-syarikat penerbangan Malaysia dan asing akan merudum dengan berjumlah RM11.3 bilion dan RM4.6 bilion – anggaran sebelumnya, RM6.8 bilion dan RM5.0 bilion, secara kolektifnya mewakili 51.1 peratus daripada jumlah hasil tambang pada tahun 2019.