Malaysia kini berdepan dengan isu siasatan berhubung ‘dumping‘ barangan eksport aluminium foil di India.
Perkara ini telah menjadi perhatian susulan aduan yang dilakukan oleh pengeluar industri. Selain Malaysia, negara lain yang turut tersenarai adalah China, Indonesia dan Thailand.
Untuk makluman pembaca, terma dumping ini membawa erti kepada amalan mengeksport produk pada harga yang lebih rendah daripada harga yang dijual di dalam negara tersebut.
Tindakan tersebut menyebabkan kerugian kepada industri pengeluar India.
Malah secara tidak langsung, penetapan harga yang lebih rendah ini akan menyukarkan lagi persaingan dalam pasaran.
Oleh kerana lambakan produk tersebut meliputi jumlah yang besar, ia telah mempengaruhi pemerolehan keuntungan produk tempatan India.
Bagaimanapun, berdasarkan pengurusan perdagangan dunia – Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) telah membenarkan tindakan sesebuah negara untuk mengenakan tarif atau duti terhadap lambakan barangan eksport negara luar. Ini bagi menyeimbangkan semula persaingan pasaran antara pengeluar domestik.
Setakat ini, siasatan berhubung perkara tersebut masih lagi dijalankan dan tindakan ke atas perkara tersebut akan dikuatkuasakan setelah keputusan menyeluruh diperolehi badan Direktorat Pemulihan Perdagangan Umum (DGTR).