Artikel

Cradle Umum Dua Geran Baharu Untuk Syarikat Pemula

Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) mengumumkan dua geran baharu untuk syarikat pemula (startup) boleh gunakan untuk tujuan komersil dan inovasi.

Geran ini dinamakan Cradle Investment Programme Ignite (CIP Ignite) dan Cradle Investment Programme Accelerate (CIP Accelerate).

Kedua-dua geran ini menyusuli Cradle Investment Programme 300 (CIP300) dan Direct Equity 800 (DEQ800).

Cradle menyatakan bahawa dua dana baharu ini adalah untuk membantu syarikat tempatan mencari peluang baharu dalam memacu pertumbuhan komersil inovasi.

CIP Ignite adalah sebuah geran bersyarat. Pemohon boleh mendapat sehingga RM500,000 untuk membantu syarikat pemula teknologi, Syarikat PKS berpaksi teknologi, dan juga syarikat yang berasal dari badan penyelidikan dan universiti.

Geran ini terbahagi kepada dua komponen: CIP Ignite (1) untuk inovasi teknologi mendalam, dan CIP Ignite (2) untuk syarikat teknologi berinovasi.

Cradle juga akan memperkenalkan CIP Accelerate, sebuah program yang boleh diberikan kepada pemohon sehingga RM2 juta untuk memberi penekanan khusus kepada pemacuan pembangunan syarikat teknologi.

Cradle juga akan membantu pengusaha melalui program latihan Structured Coaching Programme (SCP) di mana penerima bantuan dana Cradle dapat bimbingan pengusaha lain dalam industri teknologi.

Sektor yang termasuk dalam pengurusan Cradle adalah Komputer (ICT), Pembuatan, Kejuruteraan, Keselamatan Makanan, dan perkara menyentuh ekonomi sosial.