Artikel

Tan Sri Wan Zulkiflee Letak Jawatan Petronas Sebab Royalti Kepada Sarawak – Laporan Reuters

Reuters melaporkan hari ini (19 Jun) bahawa sebab mengapa Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Petronas pada bulan ini adalah kerana percanggahan pendapat berkenaan pembayaran royalti kepada kerajaan negeri Sarawak.

Reuters memetik lima sumber yang rapat dengan kerajaan bahawa Tan Sri Wan Zul tidak setuju dengan pelan untuk membayar AS$470 juta (RM2 bil) dalam bentuk cukai jualan kepada Sarawak.

Kes Petronas dan kerajaan negeri Sarawak sedang berlansung di mahkamah, sebelum kedua-dua pihak mengumumkan bahawa mereka telah capai sebuah persetujuan pada bulan lepas. Namun demikian, Sarawak kemudiannya berkata bahawa mereka akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap Petronas sehingga mana terdapat keputusan muktamad dicapai.

Reuters mengulangi kenyataan yang telah dibuat oleh Tan Sri Wan Zul sebelum ini, di mana beliau menyatakan secara terbuka bahawa kerajaan negeri Sarawak ‘tidak mempunyai legal competence‘ untuk meminta cukai jualan lebih. Beliau juga menentang kehendak Sarawak dan Sabah dari menerima pembayaran royalti minyak lebih.

Laporan Reuters menyatakan bahawa sumber mereka tidak menyatakan berapa banyak kerajaan sanggup meningkatkan pembayaran royalti kepada mana-mana kerajaan negeri.