Artikel

8,000 Kes Pulih, 14 Kes Baharu, 408 Kes Aktif. Kes Saringan Tertumpu Di Depot Tahanan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 127 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini (18 Jun).

Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,000 kes (93.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Terdapat 14 kes baharu yang telah dilaporkan.

Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,529 kes.

Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 408 kes.

Daripada 14 kes baharu yang dilaporkan, tiga kes adalah kes import.

Dari 3 kes import ini, kesemua dijangkit di luar negara.

Ini melibatkan dua warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara yang merupakan pemastautin tetap.

Daripada 11 kes penularan di dalam negara, tujuh kes adalah bukan warganegara manakala empat kes adalah di kalangan warganegara Malaysia.

Jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 121 kes (1.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).


Saringan di depot tahanan

KKM memaklumkan bahawa satu aktiviti pendekatan tertumpu (targeted approach) bagi kumpulan berisiko tinggi telah dijalankan Kerajaan adalah saringan COVID-19 di Depot Tahanan.

Lokasi-lokasi ini telah dikenalpasti berisiko tinggi dalam penularan jangkitan COVID-19 susulan didapati berlakunya jangkitan COVID-19 di kalangan OKT.

Susulan itu, beberapa fokus telah diberikan dalam saringan ini, iaitu:

  • semua OKT yang baharu di Depot Tahanan perlu menjalani persampelan;
  • semua OKT yang akan dipindah ke pusat tahanan lain perlu disampel terlebih dahulu;
  • semua OKT yang bakal dihantar pulang ke negara asal perlu disampel terleih dahulu;
  • semua kakitangan yang bertugas di pusat-pusat tahanan perlu disampel;
  • persampelan secara rawak sebagai penilaian risiko oleh Pejabat Kesihatan Daaerah/Jabatan Kesihatan Negeri.