Kadar pengesanan untuk kes-kes positif COVID-19 jelas menunjukkan trend menurun bagi tempoh 30 hari kebelakangan ini, berakhir hari ini.
Sehingga 17 Jun 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat sepuluh (10) kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,515 kes.
Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 521 kes.
Ini menyusuli kes discaj sebanyak 140 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.
Semalam (16 Jun), sebanyak 333 kes yang telah pulih.
Kementerian Kesihatan (KKM) menyatakan sebelum ini bahawa pesakit yang telah berada di hospital selama 14 hari dan tidak lagi menunjukkan sebarang gejala, akan didiscaj dari hospital bagi memberi ruang kepada pesakit lain.
Perkembangan awal ubat Dexamethasone dalam merawat pesakit COVID-19
KKM mengambil maklum perkembangan awal ujian klinikal (iaitu randomised clinical trial) ubat Dexamethasone dalam rawatan COVID-19 yang dikenali sebagai “Recovery Trial” di University of Oxford, United Kingdom.
Dexamethasone adalah sejenis ubat steroid yang digunakan untuk mengurangkan radang (inflammation) dalam pelbagai penyakit.
Hasil dapatan awal Recovery Trial menunjukkan ubat ini dapat mengurangkan risiko kematian iaitu sehingga satu pertiga dalam kalangan pesakit COVID-19 yang mempunyai gejala pernafasan yang serius, terutamanya mereka yang memerlukan bantuan pernafasan (ventilatory support).
Namun begitu, ujian klinikal ini juga mendapati bahawa ubat ini tidak membantu dalam rawatan pesakit COVID-19 yang hanya mempunyai gejala ringan atau pesakit yang tidak memerlukan bantuan pernafasan.
Hasil penemuan saintifik ini penting dalam perkembangan rawatan pesakit COVID-19. KKM ingin mengucapkan syabas kepada kerajaan United Kingdom, University of Oxford dan semua anggota yang terlibat dalam uji kaji klinikal ini.
Walau bagaimanapun, KKM menyeru orang ramai supaya berwaspada agar tidak menyalahgunakan atau mengambil ubat dexamethasone tanpa preskripsi daripada doktor.