Tahun 2020 rata-rata adalah tahun yang amat sukar untuk semua pihak, termasuklah iflix.
Perniagaan di dalam sektor hotel, penerbangan, runcit, dan sebagainya sedang dilanda kemelut ekonomi.
Namun begitu, khidmat penstriman digital seperti Astro Go dan Netflix sedang giat berkembang. Kedua-dua syarikat ini melaporkan kadar pengguna yang meningkat, dan kadar penggunaan yang juga meningkat, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diarahkan berjalan.
Namun demikian, khidmat penstriman iflix tidak berjaya menikmati nasib yang sama.
iflix dilaporkan sebelum ini masih sedang giat mencari pembeli. Mereka ingin menjual perniagaan mereka sejak tahun lepas lagi.
Kini, dua pengasas mereka telah meletak jawatan. Pada bulan April, Patrick Grove dan Luke Elliot meletak jawatan sebagai lembaga pengarah pada hari yang sama.
Patrick pada waktu itu beliau juga merupakan Pengerusi lembaga iflix.
Sebelum ini iFlix telah melantik Ryan Shaw dan John Zeckendorf sebagai lembaga pengarah baharu. Mereka berasal dari firma pengkhususan dalam syarikat hampir-muflis – Mandala Asset Solutions. Firma ini menyifatkan diri mereka sebagai ‘pakar dalam syarikat yang ada masalah aset’.
Beberapa media telah melaporkan bahawa iflix melaporkan kerugian bersih sebanyak AS$158.1 juta pada 2018 dan mempunyai liabiliti bersih sebanyak AS$68.6 juta pada akhir 2018.