Siapa sangka, syarikat tempatan – Top Glove Corp Bhd yang dahulu hanya memiliki 100 kakitangan tenaga mahir sahaja kini telah tampil sebagai pengeluar sarung tangan getah terbesar di dunia.
Sejak penubuhan awalnya pada 1991, syarikat tersebut telah berjaya menguasai 26% pasaran dunia dalam pengeluaran sarung tangan getah.
Kini Top Glove telah mencatatkan prestasi terbaik pada perolehan keuntungan bersih sebanyak RM347.9 juta pada suku kewangan ketiga yang berakhir 31 Mei 2020 (S3TK20).
Menyingkap tentang latarbelakang syarikat ini, ia telah dibangunkan oleh Tan Sri Dr Lim Wee Chai. Bermula tahun 2001 – Top Glove telah disenaraikan di Bursa Saham, dan dalam masa setahun lebih, penyenaraian Top Glove Corporation Bhd telah berjaya dipromosikan ke papan utama Bursa Saham Kuala Lumpur pada 16 Mei 2002.
Setelah itu, syarikat turut tersenarai pada Mainboard Singapore Exchange, 28 Jun 2016.
Tidak terhenti disitu, Top Glove kini adalah salah satu komponen saham Indeks Piawai Global MSCI, Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI, Indeks FBM 100, Indeks FBM Emas, Indeks Syariah FBM Hijrah, Indeks FBM Emas Syariah, dan Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia, dan Dow Jones Indeks Kelestarian (DJSI) untuk Pasaran Baru.
Setakat 19 Mac 2020, Top Glove telah memiliki dana pemegang saham sejumlah RM2.6 bilion dan perolehan tahunan sekitar RM2.4 bilion. Ini antara jumlah terbesar di mana-mana syarikat di Malaysia. Nilai modal berbayar kini adalah RM1.38 bil. pada bulan Jun 2020. Permodalan pasaran Top Glove adalah antara yang terbesar di negara, pada RM45.3 bilion setakat 10 Jun 2020.
Tumpuan Top Glove Pada Pasaran
Pada April 2018, Top Glove telah mula mengambilalih peranan syarikat Aspion Sdn Bhd, pengeluar alat perubatan terkemuka. Pengambilalihan itu telah menjadikan Top Glove sebagai pengeluar sarung tangan perubatan terbesar di dunia.
Susulan syarikat telah mendominasi pasaran dunia, Top Glove telah meningkatkan usaha mereka dalam memperluaskan industri pengeluaran produk getah.
Di mana, syarikat kini sedang bekerjasama dengan agensi Kerajaan dan Kementerian untuk turut serta dalam teknologi penyelidikan getah.
Disebabkan penularan pandemik COVID-19 – permintaan sarung tangan getah telah mula meningkat dengan mendadak di China, AS dan Eropah. Berikutan itu, pada bulan April 2020, mereka telah mengumumkan pengeluaran pelitup muka (facemask) khusus kepada permintaan pandemik.
Malah, permintaan untuk sarung tangan bukan sahaja meningkat dari kalangan premis kesihatan sahaja namun ia turut memperolehi permintaan tinggi pada sektor makanan dan minuman, bahkan sektor kecantikan seperti salun rambut.
Peningkatan ini turut dijangka berterusan sehingga satu atau dua tahun lagi. Ini ibuktikan pada catatan suku ketiga tahun 2020, dengan penjualan sarung tangan nitril melonjak 47% tahun ke tahun (yoy), penjualan sarung tangan getah asli melonjak 8%, dan penjualan sarung tangan pembedahan meningkat 21%.
Pencapaian Dividen Tertinggi
Memandangkan Top Glove mencatatkan keuntungan bersih yang tinggi, mereka kini telah mengumumkan dividen interim sebanyak 10 sen sesaham. Ini adalah dividen tertinggi yang dinyatakan untuk satu suku tahun dan tahun kewangan.
Peningkatan telah dilihat bebanding dengan bayaran dividen sebanyak 7.5 sen sesaham bagi tahun kewangan 2019, TK19.
Malah, syarikat bukan sahaja memperolehi keuntungan bersih yang tinggi sepanjang masa, namun peningkatan tersebut turut merangkumi perolehan pendapatan, pendapatan sebelum faedah, cukai, margin dan dividen penyusutan dan pelunasan.
Margin keuntungan telah meningkat kepada 21% berbanding 6% pada tahun lalu, S3TK19.
Lebih-lebih lagi, perolehan yang tinggi telah menjadikan syarkat ini berada pada kedudukan tunai bersih. Pada 31 Mei 2020, tunai bersih Top Glove berjumlah RM279 juta. Ia berada dalam kedudukan hutang bersih setelah mengambilalih Aspion Sdn Bhd pada awal tahun 2018.
Segelintir penganalisa menjangkakan unjuran keuntungan bersih Top Glove mampu mencecah RM3 bilion atau lebih tinggi bagi tahun hadapan, TK21.
Walau bagaimanapun, harga saham Top Glove turun 38 sen atau 2.22% pada RM16.70. Ini menjadikan permodalan pasaran menjadi RM44.29 bilion. Setakat tahun ini, nilai kaunter telah meningkat lebih dari tiga kali ganda dari RM4.70.