Artikel

Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia merosot 32% pada April 2020

Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) menguncup 32.0 peratus pada bulan April 2020 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, ini adalah kesan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Kemerosotan IPP pada bulan April 2020 disebabkan oleh penurunan ketara dalam kesemua indeks; indeks Pembuatan (-37.2%), indeks Perlombongan (-19.6%) dan indeks Elektrik (-19.2%).”

Jabatan Perangkaan Malaysia juga melaporkan bahawa output sektor Pembuatan pada bulan April 2020 menguncup 37.2 peratus berdasarkan pertumbuhan tahun ke tahun selepas mencatatkan penurunan 4.1 peratus pada bulan Mac 2020.

Subsektor utama yang mendorong kepada kejatuhan dalam sektor Pembuatan pada bulan April 2020 adalah Produk Mineral Bukan Logam, Logam Asas dan Produk Logam yang Direka (-62.7%), Produk Peralatan Elektrik dan Elektronik (-34.1%) dan Produk Petroleum, Kimia, Getah dan Plastik (-21.4%).

Penurunan ketara indeks Pembuatan pada April 2020 adalah disumbangkan oleh industri Perkhidmatan Bukan Keperluan Utama (Non-Essential Services) dan kapasiti penggunaan kilang yang rendah di bawah paras 50 peratus. Kemerosotan sektor Pembuatan terutamanya disumbangkan oleh industri berorientasikan eksport.

Output sektor Perlombongan menguncup 19.6 peratus pada bulan April 2020 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya. Kemerosotan tersebut adalah disebabkan oleh penurunan dalam indeks Minyak Mentah dan Kondensat (-20.2%) dan indeks Gas Asli (-19.0%).

Output sektor Elektrik merosot 19.2 peratus pada bulan April 2020 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia dijangka akan mencatatkan pertumbuhan yang lebih baik pada bulan akan datang ekoran pembukaan aktiviti ekonomi oleh kerajaan mulai Mei 2020.