Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mula dijalankan pada hari ini (10 Jun) – Menteri Kanan Pendidikan Dr. Razi Jidin telah tampil dengan penjelasan beliau tentang bagaimana operasi serta pelaksanaan institut pendidikan dapat dilakukan bermula 24 Jun ini.
Ini adalah kenyataan penuh beliau:
Bersama-sama saya pada petang ini adalah kedua-dua Timbalan Menteri Pendidikan, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia dan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.
Jika saudara saudari masih ingat, dalam Sidang Media pada 15 April 2020 yang lalu, saya telah menyatakan bahawa tarikh pembukaan semula sekolah akan diumumkan sekurang-kurangnya dua (2) minggu sebelum sekolah dibuka.
Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam Perutusan Khas pada 7 Jun 2020 juga ada menyebut bahawa tarikh pembukaan semula sekolah akan diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam masa terdekat.
Sebelum kami memaklumkan tentang tarikh pembukaan semula sekolah, izinkan kami memperincikan persiapan rapi yang telah dibuat oleh pihak KPM bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid, guru serta seluruh warga sekolah diberi keutamaan apabila sekolah dibuka kelak.
Sebagai persediaan, KPM telah menyediakan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah. Gerak kerja bagi penyediaan Garis Panduan ini telah bermula pada awal April 2020. Kami di KPM sentiasa bekerja rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memastikan Garis Panduan yang disediakan menepati peraturan dan keperluan yang ditetapkan oleh KKM dan MKN. Garis Panduan ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta, dan mana-mana institusi yang berdaftar dengan KPM. Sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM juga disaran menggunakan Garis Panduan ini.
Untuk makluman semua, Garis Panduan ini telah mendapat pengesahan daripada KKM. Di samping itu, kebolehlaksanaan Garis Panduan pembukaan semula sekolah telah dicuba di dua belas (12) buah sekolah di bawah KPM dan lapan (8) buah institusi pendidikan swasta (IPS) pada awal Mei 2020.
Saya bersama-sama Ketua Pengarah Kesihatan, Ketua Pengarah MKN dan pegawai-pegawai kanan KPM telah mengadakan lawatan ke beberapa buah sekolah untuk melihat persiapan pembukaan semula sekolah berdasarkan Garis Panduan yang telah disediakan.
Berdasarkan penilaian yang dibuat, pihak KPM, KKM dan MKN berpuas hati dengan kebolehlaksanaan Garis Panduan tersebut. Oleh itu, KPM telah mengedarkan Garis Panduan ini pada 4 Jun 2020 sebagai panduan kepada semua sekolah supaya persiapaan rapi dapat dibuat sebelum sekolah dibuka kelak.
Seperti mana yang pernah saya maklumkan, pembukaan semula sekolah akan dilaksanakan secara berperingkat. Sebagai permulaan, pembukaan sekolah hanya melibatkan murid kelas-kelas peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.
Saya pasti ibu bapa tertanya-tanya bagaimana keselamatan anak-anak apabila sekolah dibuka semula nanti. Jangan bimbang, kami yakin dengan kerjasama ibu bapa, guru-guru dan anak-anak dalam mematuhi Garis Panduan yang telah dikeluarkan, anak-anak kita akan dapat hadir ke sekolah dan mengikuti pembelajaran dalam keadaan selamat.
Dalam hal ini, kami amat berharap agar ibu bapa atau penjaga dapat memastikan bahawa anak-anak yang sihat sahaja dihantar ke sekolah.
Sekiranya, ibu bapa atau penjaga mendapati anak-anak tidak sihat atau bergejala seperti demam, batuk, selesema, sakit tekak dan sesak nafas, tolonglah jangan hantar mereka ke sekolah. Sebaiknya bawalah anak-anak ini membuat pemeriksaan kesihatan yang sewajarnya.
Saya ingin kongsikan serba sedikit gambaran awal pergerakan di sekolah nanti. Apabila murid sampai di sekolah, guru-guru bertugas akan memeriksa suhu badan mereka di pintu masuk sekolah. Pemeriksaan suhu badan juga akan dibuat kepada guru, warga sekolah dan individu yang mempunyai urusan dengan pihak sekolah.
Sesiapa yang mencatatkan suhu badan melebihi 37.5⁰C atau bergejala tidak akan dibenarkan memasuki kawasan sekolah.
Setelah pemeriksaan suhu badan dibuat, murid perlu mengikut laluan pergerakan terarah yang telah ditetapkan untuk menuju ke kelas masing-masing.
Sewaktu di sekolah, murid akan diingatkan untuk sentiasa menjaga kebersihan diri, terutamanya amalan mencuci tangan dengan kerap. Contohnya, apabila murid tiba di sekolah, pada waktu rehat dan sebelum meninggalkan sekolah.
Di dalam kelas nanti, meja-meja disusun pada jarak satu (1) meter. Secara umumnya, kapasiti maksimum untuk sebuah kelas dengan mengambil kira penjarakan sosial adalah tidak melebihi 20 murid. Namun, untuk ruang yang lebih besar seperti dewan sekolah, kapasiti tentunya lebih tinggi.
Bagaimana pula keadaannya pada waktu rehat? Tentunya ibu bapa membayangkan anak-anak bersesak-sesak di kantin. Jangan risau, waktu rehat adalah secara berperingkat.
Di kantin nanti, makanan dan minuman akan siap dibungkus. Murid perlu beratur mengikut tanda penjarakan semasa membeli makanan di kantin. Murid akan makan di dalam kelas masing-masing di bawah pengawasan guru.
Ibu bapa atau penjaga juga digalakkan menyediakan bekal makanan untuk anak-anak mereka.
Selain daripada pengawasan guru di sekolah, kami mohon jasa baik ibu bapa atau penjaga supaya sentiasa berpesan kepada anak-anak agar mengamalkan penjarakan sosial dan menjaga kebersihan diri pada setiap masa.
Di samping itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga digalakkan untuk berganding bahu bersama pihak sekolah dalam membuat persiapan sebelum sekolah dibuka dan juga semasa sekolah beroperasi.
Aktiviti di luar bilik darjah, seperti sukan dan kokurikulum secara bersemuka tidak dilaksanakan sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan. Begitu juga dengan perhimpunan sekolah.
Bagaimana pula keadaannya di asrama? Di peringkat permulaan ini, hanya murid kelas peperiksaan awam sahaja yang akan ke asrama.
Dalam bilik asrama, katil-katil disusun pada jarak satu (1) meter. Bilangan katil bagi setiap bilik adalah bergantung kepada keluasan bilik.
Selain itu, penggiliran waktu makan akan dilaksanakan mengikut bilangan murid. Susunan meja di dewan makan akan turut mengambil kira keperluan penjarakan sosial.
Untuk makluman semua, setelah mengambil kira pandangan dan nasihat KKM dan MKN, KPM telah menetapkan bahawa tarikh pembukaan semula sekolah untuk murid kelas peperiksaan awam iaitu SPM, SVM, STPM dan STAM serta peperiksaan antarabangsa yang setara bagi seluruh negara adalah pada hari Rabu, 24 Jun 2020.
Seperti yang telah saya maklumkan, sekolah akan dibuka secara berperingkat. KPM akan mengumumkan sebarang perkembangan berkaitan perkara ini dari semasa ke semasa.
Buat masa ini, pembelajaran di rumah akan diteruskan. Memandangkan guru-guru telah kembali ke sekolah, pendekatan pengajaran dan pembelajaran boleh dipelbagaikan dengan akses kepada kemudahan-kemudahan yang ada di sekolah.