Artikel

Semua Mahkamah Beroperasi Sepenuhnya Bermula 1 Julai 2020

YAA Tan Sri Tengku Maimun binti Tuan Mat, Ketua Hakim Negara telah mengarahkan hari ini (9 Jun) untuk semua Mahkamah beroperasi secara sepenuhnya bermula 1 Julai 2020.

Ini susulan Perutusan Khas oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri Malaysia pada 7 Jun 2020 berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac lalu, operasi mahkamah telah terhenti dan beberapa perbicaraan telah ditangguhkan sehingga waktu yang belum ditetapkan.

Namun demikian, terdapat beberapa perbicaraan mahkamah yang telah berlangsung secara maya, melalui aplikasi video dan telah ditonton oleh sebilangan rakyat Malaysia.

Terdapat beberapa kes mahkamah berprofil tinggi, seperti yang melibatkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Zahid Hamidi, dan ahli-ahli politik yang lain, yang dilaporkan akan akhir dalam jangka masa terdekat ini.