Artikel

‘Exit Strategy’ Daripada PKP Diumumkan PM Sebagai PKP-Pemulihan

Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan atau PKPP akan bermula pada 10 Jun 2020 hingga 31 Ogos 2020, dan akan menggantikan PKPB yang akan berakhir 9 Jun 2020.

Menurut Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam tempoh PKPP ini, lebih banyak kelonggaran diberikan untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian di samping mematuhi SOP secara berterusan.

Beliau turut mengumumkan bahawa mulai 10 Jun 2020, perjalanan rentas negeri akan dibenarkan kecuali di kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau PKPD.

Dalam tempoh PKPP ini juga, hampir semua aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan, sektor ekonomi dan sebagainya akan beroperasi semula secara berperingkat dengan pematuhan sepenuhnya kepada SOP.

Perkhidmatan gunting rambut dan salun akan dibenarkan. Pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam, pasar tamu, bazaria, medan selera, pusat penjaja, food truck dan gerai makan juga akan dibenarkan.

Selain itu, aktiviti komersial yang melibatkan urus niaga jualan dan pemasaran bukan dalam premis perniagaan juga dibenarkan.

Ini termasuk dalam senarai yang dibenarkan juga ialah lawatan ke muzium, indoor busking, dobi layan diri, aktiviti perikanan rekreasi termasuk kolam pancing komersial dan penggambaran filem.

Mesyuarat dan bengkel juga dibenarkan dengan syarat mematuhi sepenuhnya protokol kesihatan dan mengoptimumkan ruang.

Dalam kategori sukan, beberapa jenis sukan dan rekreasi akan dibuka semula dengan pematuhan kepada SOP. Ini termasuk latihan persediaan pasukan permainan sukan, aktiviti sukan yang tidak melibatkan sentuhan badan seperti bowling, badminton, memanah, menembak dan lain-lain.

Aktiviti berkumpulan di luar seperti kayuhan basikal dan konvoi motosikal juga dibenarkan.

Yang masih tidak dibenarkan ialah pertandingan sukan atau permainan yang melibatkan perhimpunan penyokong atau penonton yang ramai seperti di stadium, sukan renang dan kolam renang awam, dan sukan bersentuhan seperti ragbi, gusti, tinju, bolasepak, bola keranjang dan hoki.

Aktiviti pelancongan domestik akan dibenarkan dan tiada lagi sekatan rentas negeri.

Walaubagaimanapun, pelancongan ke negara luar tidak dibenarkan lagi kerana sempadan negara kita masih ditutup.

Tan Sri Muhyiddin menyatakan bahawa untuk solat berjemaah dan aktiviti keagamaan di masjid dan rumah-rumah ibadat pula, kelonggaran untuk membenarkan lebih ramai jemaah hadir mengikut ruang keluasan masjid atau rumah ibadat sedang diperhalusi oleh kerajaan dan beliau menegaskan bahawa ini akan diumumkan sedikit masa lagi.

Sekolah akan dibuka secara berperingkat dalam tempoh PKPP ini setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan.

Kementerian Pendidikan akan membuat pengumuman terperinci mengenainya sedikit masa lagi.

Beberapa aktiviti atau sektor masih dillarang. Ini termasuk pub, kelab malam, pusat hiburan, pusat refleksologi, pusat karaoke, taman tema, perarakan keagamaan dalam jumlah yang ramai, kenduri-kendara, rumah terbuka dan apa-apa aktiviti lain yang melibatkan kehadiran orang ramai yang bersesak di suatu tempat sehingga menyukarkan amalan penjarakan sosial dan pematuhan kepada SOP.