Artikel

Kedai Gunting Rambut Boleh Buka Mulai 10 Jun

Kerajaan mengumumkan perkhidmatan gunting dibenarkan beroperasi semula bermula 10 Jun ini.

Tetapi ini hanya akan berlaku dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Kelonggaran ini juga dipanjangkan kepada kedai dandan rambut selain salun kecantikan.

Sektor gunting rambut melibatkan 74,500 tenaga kerja daripada 16,728 perniagaan yang berdaftar.

Ia menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara berjumlah RM13.5 bilion setahun.

Perkara ini diumumkan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, susulan keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri yang berlangsung, pada Sabtu.

“Bagi golongan yang berisiko iaitu individu yang berusia 60 tahun ke atas, proses guntingan adalah diwajibkan secara temu janji tanpa kehadiran pengunjung daripada kumpulan umur lain.

“Bagi kanak-kanak bawah 12 tahun, ibu bapa dibenarkan hadir bersama tetapi perlu mematuhi pemakaian alat pelindung diri seperti pelitup muka dan apron pakai buang.

“Aktiviti yang dibenarkan termasuk gunting rambut asas, cuci rambut asas, cukur jambang dan misai, solekan dan rawatan rambut, manicure dan pedicure serta cuci dan rawatan muka,” katanya dalam sidang media harian di sini pada Sabtu.