Susulan pelaksanaan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada hari ini (5 Jun) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah tampil dengan penjelasan berkenaan bagaimana i-Saraan ini dapat membantu rakyat dari segi simpanan.
Untuk makluman, i-Saraan adalah program caruman sukarela KWSP dengan insentif untuk golongan yang bekerja sendiri. Ciri utama kemudahan ini adalah pemberian insentif khas Kerajaan sebanyak 15% tertakluk kepada jumlah maksimum RM250 setiap tahun kepada ahli di bawah umur 55 tahun yang telah mendaftar dan mencarum pada program ini.
Menurut Ketua Pegawai KWSP – Alizakri Alias, usaha Kerajaan dalam menggunakan platform tersebut pada pemain gig ekonomi dilihat bertepatan dengan penyesuaian semasa sektor pekerjaan. Di mana krisis COVID-19 ini dilihat antara pendorong utama dalam mengubah landskap pekerjaan negara.
Alizakri turut mengatakan platform i-Saraan ini adalah caruman secara sukarela, tetapi ahli KWSP di bawah program ini akan memperolehi faedah yang sama dengan ahli KWSP yang bekerja sepenuh masa, ditambah dengan sumbangan tambahan daripada Kerajaan untuk memberi insentif kepada mereka supaya dapat menabung dengan lebih banyak.
Insentif tersebut sekaligus dapat membantu semua pihak, bukan sahaja pemain gig ekonomi namun orang ramai dalam galakkan melakukan simpanan untuk masa hadapan.
Untuk maklumat lanjut, boleh layari pada pautan ini www.kwsp.gov.my/member/contribution/i-saraan.