Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan bin Md Yusof mengesahkan bahawa beliau tidak meletakkan jawatan.
“Saya tidak meletakkan jawatan. Saya ingin menegaskan bahawa saya terus menyokong pentadbiran ini, dan saya ingin meneruskan usaha saya dalam kerajaan hari ini,” kata beliau, melalui sebuah sidang media di rumahnya di Kajang pada petang Jumaat (5 Jun).
“Saya hanya mahu buat kerja. Saya seru semua untuk faham, agar bantu kita untuk membangunkan ekonomi negara,” ketika ditanya oleh beberapa wartawan ketika sidang media beliau diadakan.
“Hala tuju kita jelas, kita tidak perlu speculate apa hala tuju kita. Kita jelas dalam usaha kita. Saya mengambil pandangan beliau dan saya tidak perlu terangkan semua yang dibincang,” ujar beliau apabila ditanya apa yang dibincangkan dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Saya mohon rakyat semua menghormati titah Yang di-Pertuan Agung, jangan teruskan kancah politik ini lagi,” tambahnya lagi.
Beliau telah dilantik menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 10 Mac 2020 susulan penubuhan kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Spekulasi bahawa beliau telah meletakkan jawatan meruncing setelah Timbalan Menteri Kerja Raya, Dr. Shahruddin Md Salleh berbuat demikian beberapa hari lalu.