Arahan dan Penentuan berkenaan penggunaan spektrum jalur frekuensi 700MHz telah dibatalkan oleh Menteri Komunikasi, sehari selepas ia dianugerahkan oleh Menteri yang sama.
Spektrum jalur frekuensi 700MHz adalah jalur spektrum perintis bagi pelaksanaan rangkaian telekomunikasi selular generasi kelima (5G).
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata arahan pembatalan itu dibuat, selepas mengambil kira isu-isu teknikal, undang-undang, dan perlunya mengikut proses yang telus.
Beliau juga telah mengarahkan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), untuk membatalkan Arahan dan Penentuan itu.
Selain jalur frekuensi 700MHz, arahan sama turut diberikan ke atas penggunaan spektrum jalur frekuensi 900MHz, dan 2600MHz.
Menurut beliau, sumber spektrum merupakan satu aset negara yang diuruskan SKMM, manakala pengurusan dan kawal selia penggunaannya, adalah berdasarkan peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000.
Antara tuduhan yang telah dilemparkan terhadap kerajaan termasuk perbincangan secara menerus dan bukannya melalui tender terbuka.