Artikel

#WorkNow Bantu Rakyat Malaysia Atasi Masalah Pengangguran – JobStreet

Bulan April lalu, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) mengatakan kadar pengangguran negara dilihat semakin tinggi dan dijangka lebih daripada 2 juta individu akan kehilangan pekerjaan mereka.

Ini berikutan krisis COVID-19 yang sedang berlaku beserta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia sejak 18 Mac 2020.

Pada tinjauan yang dilakukan oleh JobStreet pada bulan Mei di antara 5,000 anggota tenaga kerja di Malaysia, telah mendapati bahawa satu daripada lima orang yang bekerja sebelum PKP telah diberhentikan.

Sebilangan besar pekerja yang diberhentikan adalah pekerja yang berpendapatan rendah, dan dari tenaga kerja sambilan di organisasi kecil. Malah, sebahagian pekerja adalah dari industri pelancongan, perhotelan, katering, pengangkutan, pendidikan dan peruncitan.

Menurut Gan Bock Herm, Pengurus JobStreet – pihak mereka telah tampil dengan inisiatif #TogetherAhead di mana bertujuan untuk membantu membina semula perniagaan, kerjaya dan kehidupan orang ramai.

Ia menghubungkan majikan dengan maklumat pemohon serta pandangan yang berguna untuk memenuhi keperluan pekerjaan mereka. Pemohon dapat mencari pekerjaan berdasarkan permintaan oleh industri, syarikat membantu mereka dalam mencari peluang pekerjaan seterusnya.

Oleh itu, kini JobStreet telah memperkenalkan #WorkNow bagi membantu pemohon kerja menonjolkan kemahiran mereka serta mencipta peluang untuk berhubung dengan bakal majikan mereka. #WorkNow adalah sebahagian daripada inisiatif JobStreet yang berterusan untuk membantu rakyat Malaysia yang menganggur kembali bekerja lebih cepat dalam masa yang singkat.

Malah, ia membolehkan syarikat mengenal pasti dan mengakses pemohon untuk bersedia untuk pengambilan segera.

Langkah ini sekaligus dapat membantu negara dalam membendung kadar penggangguran serta membantu meningkatkan semula aliran tunai pada pertumbuhan ekonomi negara.