Artikel

Presiden, Ketua Pegawai Eksekutif UMW Badrul Feisal Meninggal Dunia

Badrul Feisal Abdul Rahim, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UMW Holdings Bhd telah dilaporkan meninggal dunia semalam (31 Mei).

Perkara itu disahihkan menerusi ciapan Twitter Presiden dan Ketua Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB) Jalil Rasheed mengatakan bahawa beliau terkejut dan sedih akan perkhabaran yang diterimanya berhubung pemergian Badrul Feisal.

Menurut UMW, Badrul Feisal telah berkhidmat sebagai Presiden dan CEO kumpulan UMW sejak dilantik pada 1 Oktober 2015.

Dikatakan bahawa dia menyertai UMW Group sebagai Pengurus Kanan Kumpulan pada Disember 2010 dan dilantik sebagai Pemangku Pengarah Eksekutif bagi Bahagian Minyak & Gas UMW dari April 2011 hingga Disember 2011.

Beliau juga pernah menjadi Pengarah Eksekutif Bahagian Pembangunan Korporat Kumpulan sebelum dilantik sebagai Ketua Operasi Kumpulan UMW pada Januari 2013.

Selain itu, Badrul Feisal juga pernah terlibat dalam pengurusan kanan dan organisasi seperti Khazanah Nasional Berhad, Proton Holdings Bhd, Lotus dan kumpulan syarikat DRB-Hicom.

Malah beliau juga berkhidmat sebagai Profesor Adjung di Pusat Pembelajaran Kejuruteraan Pembuatan, Universiti Malaysia Perlis, dan ahli Lembaga Penasihat Perindustrian Universiti Kuala Lumpur (UniKL).