Artikel

Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur – Singapura (HSR) Ditangguhkan Sehingga Akhir 2020

Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) kini akan dilanjutkan sehingga akhir tahun ini, 31 Disember 2020.

Kenyataan ini telah disahihkan oleh Menteri Kanan, Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, di mana Malaysia dan Singapura telah bersepakat untuk menangguhkan tempoh tersebut.

Penangguhan ini merangkumi perubahan pada infrasturktur teknikal dan aspek komersial projek.

HSR adalah projek kereta api yang menghubungkan Kuala Lumpur, Malaysia ke Singapura melalui landasan kereta api berkelajuan tinggi.

Sebelum ini, kedua-dua kerajaan telah sepakat untuk menangguhkan pembinaan projek dua hala tersebut sehingga 31 Mei 2020, untuk mencari jalan terbaik untuk projek ini.

Berdasarkan usahasama ini, Kerajaan Malaysia dengan MyHSR Corp telah mengenal pasti pilihan pengurangan kos, seperti mengkaji dan mengoptimumkan penyelarasan, lokasi stesen dan model perniagaan.

Pada September 2018, Malaysia dan Singapura bersetuju untuk menangguhkan pembinaan HSR sehingga Mei 2020 dengan Malaysia harus membayar semula sejumlah S$ 15 juta (RM45.1 juta).

Jumlah tersebut harus dibayar pada Januari 2019, sebagaimana dinyatakan dalam perjanjian untuk meminda perjanjian dua hala HSR, berdasarkan persefahaman baru antara pemerintahan Pakatan Harapan dan Singapura.

Sekiranya projek tersebut tidak dijalankan setelah tarikh penangguhan berakhir, Malaysia harus membayar semula kos Singapura yang dikeluarkan dalam memenuhi perjanjian HSR.

Perjanjian itu kemudian ditandatangani bagi pihak Malaysia oleh Azmin sementara Singapura diwakili oleh Khaw Boon Wan, Menteri Pengangkutan Singapura.

Berdasarkan syarat perjanjian baru, perkhidmatan HSR dijangka bermula pada 1 Januari 2031, bukan pada 31 Disember 2026.