Artikel

Penginapan Sempit, Sesak, Punca COVID-19 Tular Mendadak Di Tapak Pembinaan

Sehingga 26 Mei 2020 jam 12 tengah hari, KKM telah mengesan sebanyak 3 buah kluster yang melibatkan tapak pembinaan. Setakat ini, 88 kes positif COVID-19 telah dikesan dari semua tapak pembinaan tersebut, iaitu:

1. Kluster Tapak Pembinaan Kuala Lumpur di mana daripada jumlah 488 sampel yang telah diambil:

  • 31 kes positif COVID-19 dikesan yang merangkumi 29 warga Bangladesh dan dua (2) warga Indonesia;
  • 457 kes negatif COVID-19.

2. Kluster Tapak Pembinaan Setia Alam di mana daripada jumlah 91 sampel yang telah diambil:

  • 13 kes positif COVID-19 dikesan yang terdiri daripada semua warga Bangladesh;
  • 78 kes negatif COVID-19.

3. Kluster Tapak Pembinaan Kuala Lumpur 2 di mana daripada jumlah 350 sampel yang telah diambil:

  • 44 kes positif COVID-19 dikesan yang merangkumi 34 warga Bangladesh, sembilan (9) warga Indonesia dan satu (1) warga Malaysia; (dikesan pada 25 Mei 2020)
  • 306 kes negatif COVID-19.

Ingin dimaklumkan bahawa kluster-kluster ini dikenalpasti susulan arahan saringan pekerja asing bagi industri pembinaan terutamanya di zon merah di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Ini adalah sepertimana yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Setakat 26 Mei 2020, seramai 27,383 pekerja di tapak binaan telah disaring COVID-19 oleh majikan masing-masing.

Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan (JKWP) Kuala Lumpur dan Putrajaya juga telah mengenakan perintah tutup tapak pembinaan dan rumah kongsi yang terlibat dengan Kluster Tapak Pembinaan Kuala Lumpur 2.

Proses pembersihan dan nyah kuman di tapak pembinaan serta rumah kongsi berikut sudah mula dilaksanakan.


Sehubungan penularan kes positif COVID-19 di tapak pembinaan, KKM mendapati bahawa antara punca utama penularan kes COVID-19 di kalangan pekerja bukan warganegara bagi kluster-kluster tapak pembinaan adalah seperti berikut:

  • Penginapan yang sesak dan mempunyai ruang yang sempit mengakibatkan tiada amalan penjarakan sosial (social distancing) antara satu sama lain di tempat penginapan;
  • Amalan tahap kebersihan diri dan persekitaran yang kurang memuaskan.

Majikan adalah bertanggungjawab untuk memberi pendidikan kepada para pekerja tentang amalan kebersihan dan langkah pencegahan.

Majikan juga harus memastikan amalan-amalan ini bukan sahaja diamalkan di tempat kerja, malahan adalah penting langkah-langkah pencegahan turut diamalkan di tempat penginapan pekerja.

Tindakan ini dapat mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19 dari tempat penginapan ke tempat kerja dan sebaliknya.

Para majikan dikehendaki memastikan langkah-langkah berikut adalah dilaksanakan di tempat kerja:

  • Penyediaan tempat mencuci tangan atau hand sanitizer;
  • Amalan jarak sosial selamat iaitu sekurang-kurangya 1 meter termasuk di ruang kerja dan ruang makan seperti:-
    • Elakkan pekerja berkumpul di ruang sempit (confined space)
    • Elakkan terlalu ramai pekerja bersama pada satu masa (crowded place)
    • Amalkan jarak 1 meter semasa bertutur (close conversation)
    • Kerap melaksanakan proses nyah kuman dan nyah cemar terutamanya di ruang guna sama;

Walaubagaimanapun, pematuhan kepada SOP di tempat kerja akan menjadi sia-sia sahaja sekiranya majikan tidak proaktif dalam memastikan langkah-langkah pencegahan penularan COVID-19 turut diambil dan diikuti oleh pekerja di tempat penginapan mereka seperti berikut:

  • Elakkan 3C / 3S seperti yang telah disarankan;
  • Pastikan katil atau tempat tidur disusun mengikut penjarakan sekurang-kurangya 1 hingga 2 meter antara satu sama lain;
  • Elakkan penyediaan makanan secara berkumpulan atau beramai-ramai;
  • Elakkan makan beramai-ramai di ruang makan;
  • Pastikan tempat tonton TV atau ruang rehat tidak sesak pada masa yang sama;
  • Pastikan kebersihan tempat penginapan termasuk tandas dan persekitarannya dijaga dengan kerap menjalankan sanitasi dan pembersihan tempat penginapan masing- masing.