Artikel

Penetapan Harga Maksimum Ayam Masih Sama, Ia Bukan Bersifat Politik – KPDNHEP

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini (22 Mei) menyelar kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kelewatan pihak mereka memantau pengawalan harga barangan bagi musim perayaan.

KPDNHEP menyifatkan kenyataan tersebut adalah tidak berasas. Ini kerana ia dilihat mengelirukan orang awam dan menyebabkan pegawai penguatkuasa kementerian ini dikritik meskipun telah banyak usaha dilakukan pada operasi mereka.

Anwar dikatakan telah mendakwa harga ayam pada musim perayaan (Aidilfitri) ketika zaman Pakatan Harapan (PH) memerintah adalah RM3 sekilogram, berbanding harga ketika ini RM7.50 sekilogram. Sedangkan pemeriksaan rekod yang diwartakan sebelum ini mendapati sebenarnya harga maksimum ayam ketika itu adalah RM7.50 sekilogram sama seperti ditetapkan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

Kenyataan ini telah disahkan sendiri oleh Datuk Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Jelas beliau kecewa akan dakwaan tersebut. Datuk Alexander turut mengatakan pelbagai mekanisme digunakan bagi penetapan harga barang pengguna dan menegaskan ia bukan bersifat politik.

Selain itu, KPDNHEP turut memaklumkan terdapat penambahan barang kawalan bagi tahun ini iaitu sebanyak 35 barangan berbanding 27 barangan untuk tahun lalu.