Indeks Harga Pengguna Papar Penurunan 2.9% Bagi April 2020

Written by Liyana · 1 min read

Indeks Harga Pengguna bagi bulan April 2020 telah menunjukkan penurunan 2.9% kepada 117.6 berbanding 121.1 pada bulan yang sama untuk tahun 2019.

Mengulas laporan Jabatan Perangkaan Malaysia ini, Ketua Perangkawan Malaysia Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin mengatakan catatan ini adalah perubahan kadar terendah semenjak tahun 2010.

Penurunan IHP keseluruhan ini telah didorong oleh penurunan indeks kumpulan Pengangkutan (-21.5%) dan Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain (-2.2%) yang menyumbang 14.6 peratus dan 23.8 peratus daripada keseluruhan wajaran.

Purata harga RON95 yang lebih rendah pada April 2020 iaitu RM1.27 per liter berbanding RM2.08 pada April 2019 telah menyumbang kepada perubahan negatif indeks Pengangkutan dan indeks keseluruhan.

Tambahan pula, purata harga RON97 menunjukkan penurunan harga kepada RM1.57 per liter berbanding RM2.71 manakala Diesel menurun kepada RM1.49 per liter daripada RM2.18 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Walau bagaimanapun, kumpulan utama Makanan & Minuman Bukan Alkohol terus menunjukkan peningkatan bagi April 2020 sebanyak 1.2 peratus kepada 133.9 berbanding 132.3 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Kumpulan ini menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP). Pelbagai Barangan & Perkhidmatan turut menunjukkan peningkatan 2.3 peratus diikuti Komunikasi (1.6%), Kesihatan (1.2%) dan Pendidikan (1.2%).

Bagi perbandingan bulanan, IHP turut menurun 2.7 peratus berbanding Mac 2020. Penurunan ini telah disumbangkan oleh Pengangkutan (-13.5%) dan Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain (-3.8%). Sementara itu, IHP bagi tempoh Januari hingga April 2020 menurun 0.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Manakala indeks bagi semua negeri pula menunjukkan penurunan antara -2.0 hingga -3.9 peratus bagi April 2020 berbanding April 2019. Penurunan tertinggi dicatatkan oleh Kedah dan Perlis (-3.9%) diikuti oleh Sarawak (-3.8%) dan Sabah & Wilayah Persekutuan Labuan (-3.7%).

Sebaliknya, semua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol. Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (1.8%), Perak (1.8%), Terengganu (1.8%), Johor (1.7%) dan Pulau Pinang (1.5%) dan ia melebihi paras nasional 1.2 peratus bagi kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol pada April 2020.

Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin turut menyatakan, “IHP tanpa bahan api untuk kenderaan (RON95, RON97 dan Diesel) berada pada kadar positif iaitu 0.2 peratus manakala indeks teras meningkat 1.3 peratus pada April 2020 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *