UOB Malaysia hari ini (20 Mei) telah melaporkan keuntungan bersih selepas cukai berjumlah RM1.22 bilion bagi tahun kewangan berakhir 2019.
Secara relatifnya catatan tersebut agak mendatar berbanding tahun sebelumnya.
Prestasi ini masih lagi kukuh, meskipun terdapat sedikit penurunan disebabkan pendapatan faedah dan bukan faedah bersih yang lebih tinggi yang mana sebahagiannya telah diimbangi oleh peningkatan dalam perbelanjaan operasi dan peruntukan kerugian kredit.
Jumlah pendapatan operasi Bank meningkat 3.2 peratus kepada RM3.10 bilion pada 2019, disebabkan oleh pendapatan faedah yang lebih tinggi daripada pinjaman dan instrumen hutang pada nilai saksama melalui pendapatan komprehensif lain.
Pendapatan bersih daripada perniagaan Perbankan Islam Bank juga naik 2.9 peratus kepada RM42.0 juta pada tahun ini.
Menurut Wong Kim Choong, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, prestasi bank pada tahun ini mencerminkan pertumbuhan ekonomi global dilihat lebih perlahan berikutan aktiviti pembuatan dan perdagangan global yang lebih lemah.
Bagi membantu mengurangkan kesan pandemik terhadap kesejahteraan kewangan pelanggannya, UOB Malaysia telah menyediakan moratorium untuk tempoh enam bulan bagi semua pinjaman, termasuk gadai janji dan kemudahan pembiayaan Islam kepada para pelanggan dan kakitangannya.
Bank juga mengetepikan pengkompaunan faedah atas pinjaman dan gadai janji untuk semua pelanggan individu serta PKS yang layak semasa tempoh moratorium enam bulan tersebut.
Bagi kakitangan di semua premis dan cawangan pula, Bank telah mengambil semua langkah pencegahan yang diperlukan, termasuk pemeriksaan suhu badan serta pembersihan dan pembasmian kuman setiap hari. Bank juga mengurangkan kepadatan kakitangan di tempat kerja melalui langkah-langkah penjarakan sosial selamat dengan mengarahkan mereka untuk bekerja mengikut syif kerja berlainan dan di beberapa lokasi kerja.
UOB Malaysia juga turut menyumbang RM500,000 melalui Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia bagi menyokong Dana Pandemik COVID-19 MERCY Malaysia.