Artikel

SOP Peruncitan Bantu Premis Perniagaan Tangani Kedegilan Pelanggan – MKN

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini (19 Mei) memberi peringatan kepada masyarakat untuk terus mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan, ini termasuk kepada premis perniagaan.

Ini kerana masih terdapat segelintir masyarakat yang didapati tidak acuh dan secara terang-terangan melanggar garis panduan yang telah ditetapkan di pusat beli-belah, kedai runcit dan lain-lain pusat pembelian.

Tindakan itu dibuktikan apabila terdapat penularan imej dan video masyarakat yang tidak patuh kepada SOP. Ketidakpatuhan ini sememangnya amat membimbangkan pihak KKM.

Susulan itu Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah membangunkan satu SOP Peruncitan, ia bertindak sebagai garis panduan bagi semua pengusaha, peniaga dan pemilik perniagaan yang telah dibenarkan beroperasi.

Premis dikehendaki memastikan penjarakan sosial diamalkan sepanjang masa serta mengehadkan laluan keluar masuk ke premis untuk mengelakkan kesesakan berlaku,

Selain itu, kesemua staf, pembekal dan pelanggan perlu melalui proses saringan suhu badan sebelum memasuki dalam premis. Ini bagi catatan keperluan perubatan sekiranya terdapat gejala virus dikesan.

MKN juga turut menyarankan agar kesemua premis mempraktikan penggunaan ‘hand sanitizer’ dan penutup muka kepada pekerja dan pelanggan mereka, ia seiring dengan penerapan konsep kehidupan norma baharu.

Seterusnya, setiap premis wajar melaksanakan proses nyahkuman dan pembersihan sepanjang tempoh operasi berlangsung. Tindakan tersebut dapat memutuskan rantaian penularan COVID-19.

Rentetan itu, KKM menegaskan meskipun jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan kini adalah semakin menurun, namun masih terdapat bahaya jangkitan COVID-19 di kalangan masyarakat.

Tanggungjawab ini bukan sekadar pada diri masyarakat, namun turut merangkumi keluarga dan negara.