Setelah mencatatkan kerugian sebanyak AS$8.9 bilion semalam, SoftBank menerbitkan laporan kewangan mereka di laman web syarikat itu.
Antara penjelasan yang diberikan tentang mengapa mereka rugi sehingga berbilion dolar adalah termasuk wabak koronavirus, ketidaktentuan ekonomi, dan pelaburan yang merugikan seperti WeWork.
Tetapi apa yang menarik perhatian pelabur adalah muka surat 51 dalam laporan itu.
Baca laporan penuh Softbank di sini: SoftBank Financial Report For Year Ended 31 March 2020
Ia menggambarkan kuda unicorn yang berjaya melompat ‘lembah koronavirus’ sambil menunjukkan kuda-kuda ‘pelaburan’ lain yang jatuh ke dalam lembah ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SoftBank yang memberikan taklimat laporan kewangan semalam, Masayoshi Son menerangkan bahawa pelaburan tahun ini akan menyaksikan beberapa firma yang dilabur akan gagal susulan wabak pandemik ini.
Tetapi cara SoftBank menerangkan situasi ini sangat pelik sehingga beberapa pelabur mengatakan bahawa ada kejanggalan ketara yang sedang berlaku di SoftBank.
“Para pelabur serata dunia memahami keadaan ekonomi meluas susulan wabak ini, tetapi cara SoftBank mengisahkan isu ini memang pelik, dan menujukkan mereka akan gagal dalam jangka masa terdekat ini,” kata Eric Savitz, penulis akhbar Barons.
Setakat ini, saham SoftBank adalah 3,778 Yen (AS$35, RM154), iaitu 66% diskaun kepada kesemua aset yang dipegang olehnya.
Ini menunjukkan bahawa SoftBank sekarang memegang aset tiga kali ganda dari harga saham mereka, dan ini merupakan suatu situasi yang agak keruh untuk syarikat itu untuk terus berkembang.