Artikel

Musim Perayaan: Rakyat Masih Perlu Mematuhi Garis Panduan PKPB

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini (18 Mei) telah mengingatkan semua masyarakat untuk terus kekal mematuhi garis panduan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika musim perayaan kelak.

Gesaan ini susulan daripada perolehan data jumlah kenderaan yang merentas negeri setiap hari adalah sebanyak 2,931 kenderaan (dalam masa 3 hari). Data ini berikutan orang awam yang ingin pulang ke kampung halaman untuk sambutan perayaan bersama keluarga.

Catatan tersebut secara tidak langsung membimbangkan pihak KKM.

Isu ini berkemungkinan akan memberi kesan kepada kumpulan yang berisiko seperti warga emas, kanak-kanak serta golongan rendah imuniti yang memiliki penyakit kronik.

Sehingga 18 Mei 2020, daripada jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Malaysia iaitu 6,941 kes, sebanyak 961 orang adalah warga emas yang berumur 60 tahun dan ke atas (13.8%). Manakala, kanak-kanak yang berumur 12 tahun dan ke bawah pula merangkumi 318 orang (4.6%).